Halaman

Jumaat, 25 Januari 2013

Isu utama adalah pendidikan percuma- Bawani

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Aktivis Mahasiswa, KS Bawani berkata, beliau tidak pernah mendesak Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen memohon maaf ekoran insiden yang tercetus semasa  forum yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya, katanya, perkara paling utama cuba disampaikan adalah kebebasan mahasiswa dan pendidikan percuma.

“Tuntutan maaf bukan isu utama yang saya bawa, tetapi saya tetap fokus dengan isu kebebasan mahasiswa untuk bersuara, autonomi universiti dan paling penting isu pendidikan percuma.

“Jangan lupa video itu juga menunjukkan bagaimana mahasiswa didoktrin dengan agenda Umno BN dan dihasut membenci Pakatan Rakyat seperti kandungan bacaan ikrar,” katanya dalam sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, hari ini.

Pelajar tahun dua jurusan undang-undang dari UUM itu menjelaskan beliau tidak mencemarkan nama baik universiti seperti didakwa.

“NC (Naib Canselor) UUM kata saya mencemarkan nama baik UUM kerana mendakwa mahasiswa dipaksa hadir ke forum itu dan tiada kebebasan berpendapat.

“Bukan saya yang muatnaik video itu tetapi saluran TvMyMahasiswa milik UUM dan SW1M. Jadi kenapa saya pula dituduh merosakkan nama universiti?,” katanya yang setuju jika video asal forum berkenaan dimuatnaik di internet sepenuhnya.

“Apa yang saya suarakan merupakan tanggungjawab mahasiswa untuk memberi pendapat dan membawa kebenaran,” jelas beliau yang juga pengasas Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).

Katanya, beliau secara sukarela hadir forum itu, namun terdapat pelajar tahun satu diwajibkan menyertai program berkenaan. Perkara itu katanya, turut dinyatakan pelajar berkenaan dalam laman Facebook Uumkini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.