Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim menegaskan kegagalan NGO terbabit mengetengahkan fakta yang betul akan mengundang salah faham dalam kalangan rakyat.
"Pemimpin badan NGO kena jawab persoalan yang timbul kerana rakyat memerlukan jawapan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gotong-royong Perdana dan Pelancaran Siswa4U Parlimen Muar di Parit Raja, Jalan Temenggung Ahmad, di Muar hari ini.
Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan merujuk kejadian membabitkan Bawani KS, pelajar jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Presiden Suara Wanita 1Malaysia Sharifah Zohra Jabeen semasa Forum "Seiringkah Mahasiswa dan Politik?" yang berlangsung di UUM 8 Dis lalu.
Mengenai hujah Bawani pelaksanaan pendidikan percuma hanya memerlukan RM10 bilion, Razali berkata kenyataan itu tidak tepat kerana didasar kepada jumlah pelajar yang memohon atau mendapat pinjaman daripada kerajaan.
"Apabila kita putuskan hendak beri pendidikan percuma, kita kena beri kepada semua sedangkan lebih ramai lagi pelajar yang belajar atas pembiayaan sendiri," katanya menambah jumlah perbelanjaan sebenar adalah jauh lebih besar jika cadangan itu dilaksana.
Beliau juga mahu Bawani mempertimbangkan fakta Argentina mampu memberi pendidikan percuma kerana jumlah pelajarnya hanya 200,000 sedangkan di malaysia ada lebih sejuta orang.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.