KANGAR –
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips)
memperkenalkan Skim Saham Wakaf Tunai melalui potongan gaji bagi
memudahkan penjawat awam dan swasta menyumbang dalam skim itu. Raja Muda
Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang
Dipertua Maips bertitah, skim itu akan memudahkan untuk umat Islam
melaksanakan ibadah wakaf mereka untuk projek yang memberi manfaat
kepada umat.
Bertitah
pada majlis penyerahan penyata zakat gaji tahun 2012 di Kampung Guar
Syed Alwi dekat sini hari ini, baginda bertitah, Unit Wakaf dan Sumber
Am Maips kini sedang rancak mempromosikan skim itu.
Unit itu
yang diwujudkan akhir tahun lalu, memberi tumpuan kepada lima projek
wakaf tunai termasuk pembangunan hartanah dan harta wakaf sedia ada,
wakaf pembinaan dan penyenggaraan masjid dan surau serta wakaf
al-Quran, kitab hadis dan buku ilmiah.
Dua lagi
projek ialah, wakaf maahad tahfiz, sekolah agama dan tadika Islam serta
wakaf tanah kubur dan penyenggaraan perkuburan.
Tuanku
Syed Faizuddin turut mempelawa jabatan, institusi pengajian tinggi,
sekolah atau badan swasta untuk menjalankan program-program kolaborasi
tanggungjawab sosial korporat (CSR), tanggungjawab sosial universiti
(USR) dan tanggungjawab sosial sekolah (SSC) dengan Maips.
“Maips
mahu dianggap sebagai rakan kongsi yang tepat selain sebagai medium
pelaksanaan sebarang bentuk program yang sangat berimpak oleh
organisasi-organisasi di negeri ini khususnya kepada warga asnaf,” titah
baginda.
Baginda
turut menggesa umat Islam di negeri ini supaya bersama-sama
menyemarakkan semangat mempertingkatkan lagi kemajuan serta kehidupan
golongan asnaf.
Sepanjang
tahun lalu, Maips mengagihkan sebanyak RM54,355,038 kepada golongan
asnaf di seluruh negeri termasuk bantuan membina 92 buah rumah untuk
golongan asnaf serta 464 buah rumah yang dibaik pulih yang
keseluruhannya bernilai RM6,520,406.
Selain
itu, Maips turut mengeluarkan bantuan sara hidup kepada 2,418 orang
penerima yang berjumlah RM1,512,327 serta bantuan serta-merta pelajaran
kepada 2,451 orang pelajar berjumlah RM2,019,110.
Sempena
majlis penyerahan penyata itu, Maips turut menyerahkan lima rumah asnaf
yang dibina baru serta dibaik pulih dan menyampaikan sumbangan untuk
projek Pembangunan Asnaf Maips.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut
hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan
Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Abdul Rasid Sudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.