KUALA LUMPUR 20 FEB: Pelabur dari Selatan Filipina yang ditipu penjenayah dikehendaki, Manuel Karingal Amalilio merayu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan adiknya, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman supaya campur tangan dalam kes itu.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, ketika lawatannya ke Filipina 7 Februari lalu, beliau menerima surat ditandatangani para pelabur yang tertipu hampir RM900 juta meminta kedua-dua pemimpin Sabah itu masuk campur dan berikan penjelasan.
“Dalam surat itu, pelabur-pelabur tersebut meminta campur tangan Musa dan Anifah kerana menurut mereka Amalilio yang menggunakan nama Mohammad Kamal Sa’aid mengenalkan diri sebagai anak saudara mereka berdua ketika menarik pelabur di Filipina,” kata Tian pada sidang media berkenaan isu ini semalam.
Tian turut membacakan kandungan surat itu.
“…Kami sebagai mangsa penipuan pelaburan datang ke Malaysia untuk melawat rakan kongsi kami, Kamal Said, Ketua Pengarah Eksekutif Aman Future Group Philipine Inc dan anak saudaranya, Shafiq Richard Diago yang menurut Kamal telah dilatih selama 17 tahun untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan transaksi lain…”.
“…Sebelum itu, Kamal memperkenalkan dirinya sebagai anak saudara kepada Ketua Menteri Sabah, Menteri Luar Negeri dan bekas menteri, Datuk Harris Salleh. Kamal berkata, jika mahu melihat kehebatan dan betapa terhormatnya beliau di Malaysia, silalah berkunjung ke Sabah…,” demikian menurut surat itu.
“Inilah sebab mengapa pelabur terdiri daripada majoriti Muslim itu percaya kepada Amalilio, malah beliau turut meyakinkan para pelabur kononnya keluarga yang disebut beliau tadi adalah terhormat di kalangan orang Muslim,” kata Tian mengulas surat berkenaan.
“Antara perkara baru kita tahu ialah Datuk Harris juga adalah ‘bapa saudara’ kepada Amalilio. Kita lihat Musa sampai sekarang belum menafikan malah mengiayakan Amalilio adalah saudara jauhnya, mungkin sebab itu sehingga kini kita lihat belum ada komitmen untuk menghantar Amalilio ke Filipina,” kata Ahli Parlimen Batu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.