SINAR HARIAN
BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di USJ,
Subang Jaya, Selangor semalam dan menyelamatkan seorang lagi bayi lelaki
berusia dua bulan yang menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan
kanak-kanak.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam Ops
Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32
tahun yang dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.
"Hasil maklumat awam dan risikan yang kita jalankan, sepasukan pegawai
dan anggota kita telah memeriksa rumah berkenaan pada pukul 1 petang
semalam dan berjaya menyelamatkan seorang lagi bayi serta menahan
seorang wanita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi
wanita di Cheras, Selangor pada hari yang sama, bagi membantu siasatan
berhubung sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.
"Sehingga semalam, kita berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan
kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan
45 orang dalam Ops Pintas Sayang II," katanya.
Semalam 21 bayi dan kanak-kanak dilapor diselamat di Selangor, Johor,
Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang.
Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang juga dalang sindiket berkenaan turut ditahan.
Pada 24 Jan lepas, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket
menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah
dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta
seorang kanak-kanak.
Sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang
tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan
anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak.
Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual antara
RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina,
lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi
dan kanak-kanak tersebut.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya telah mendapat kebenaran
daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk
mereman 45 individu tersebut selama empat hari hingga Selasa ini.
Mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun yang terdiri daripada golongan
pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.
"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti
Pemerdagangan Orang 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum
penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda,"
katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan