Sinar Harian
“Sejak diterbitkan enam tahun lalu, akhbar ini untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum,” kata Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd. Jalil Ali.
Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan wakil beberapa NGO yang berkumpul di hadapan ibu pejabat Kumpulan Media Karangkraf di sini pagi semalam, kerana membantah penyiaran sebuah rencana di akhbar berkenaan.
Presiden Prihatin Nadi Rakyat Malaysia, Ravie, pemimpin Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin, Ramesh Rao, dan Indran Sagaran dari Kelab Peminat Kamalhassan, meminta penjelasan mengenai sebuah rencana kolumnis Dr Ridhuan Tee Abdullah pada 18 Februari lalu.
Mereka menuduh rencana dalam ruangan tetap ‘Buka Minda’ itu sebagai tidak adil terhadap masyarakat kaum India, bersifat perkauman dan tidak sejajar dengan konsep ‘1Malaysia’.
Jalil menjelaskan rencana tersebut telah melalui proses tapisan dan penyiarannya tidak langsung berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, tetapi lebih berdasarkan pada isu semasa, khususnya mengenai filem ‘Wishwaroopam’.
“Saya memahami perasaan masyarakat dari keturunan India yang tidak senang hati dengan rencana tersebut, dan dengan tulus ikhlas saya mohon maaf,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan