Satu pergaduhan telah dilaporkan berlaku antara penyokong Pakatan Rakyat dan Umno ekoran masalah bendera.
PETALING JAYA: Bandar Tun Razak mungkin menjadi kawasan panas dalam pilihan raya umum ke 13 setelah bibit-bibit insiden pergaduhan mula tercetus di kawasan itu.
Jumaat lalu satu pergaduhan telah dilaporkan berlaku antara penyokong Pakatan Rakyat dan Umno ekoran masalah bendera.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana saya tidak berada di tempat kejadian, tetapi saya minta kejadian ini tidak berulang lagi.
“Saya bimbang lebih banyak pergaduhan dan kejadian yang tidak diingini akan berlaku,” kata Timbalan Ketua Biro Penerangan Umno bahagian, Hamzah Wahab.
Parlimen Bandar Tun Razak kini diwakili oleh pemimpin PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga menteri besar Selangor yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya 2008.
Laporan beberapa media mendakwa bahawa pergaduhan telah dimulakan oleh seorang penyokong Pakatan Rakyat.
Ahli Pekida
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar menjelaskan kedua-dua pemuda yang terbabit dengan pergaduhan itu merupakan ahli Pekida.
“Seorang daripadanya menyokong Umno dan seorang lagi PKR tetapi kedua-duanya menjadi ahli Pekida.
“Pergaduhan itu tercetus mengenai bendera Pekida dan bukan bendera Umno ataupun PKR,” katanya.
Bagaimanapun, Rizalman yang juga Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak berkata, penyokong PKR sering membuat provokasi kepada penyokong Pemuda Umno.
Katanya, beliau bimbang jika kedaaan ini berterusan ia tidak terkawal dan akan menimbulkan kejadian yang tidak diingini.
“Saya juga percaya Bandar Tun Razak akan jadi kawasan panas dalam kempen pilihan raya nanti, tetapi Pemuda Umno mengamalkan politik matang.
“Saya selaku Ketua Pemuda Umno boleh mengawal ahli kami tetai bimbang jika terlalu banyak provokasi akan mencetuskan pergaduhan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.