Parti (PAS) belum buat keputusan jadi saya pun tak tahu sama ada kena bertanding atau tak, kata Mahfuz Omar.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata dirinya tidak akan berkecil hati jika namanya tidak dicalonkan semula merebut kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13.
Beliau juga enggan menjawab spekulasi sama ada dirinya akan diletakkan bertanding di DUN bagi membolehkannya berpeluang merebut jawatan Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Azizan Razak.
“Parti belum buat keputusan jadi saya pun tak tahu sama ada kena bertanding atau tak.
“Saya bersedia untuk jadi pencacai parti tapi cuma saya harap di (Parlimen) Jerlun nanti Mukhriz tak lagi dicalonkan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Katanya, persoalan itu akan terjawab apabila PAS Pusat mengumumkan calon sejurus selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membubarkan Parlimen.
Mahfuz mula bertanding kerusi Parlimen Pokok Sena dan menang pada tahun 1999, namun kalah ditangan calon Umno Datuk Abdul Rahman Ibrahim pada tahun 2004 sebelum berjaya merebut semula kerusi berkenaan pada tahun 2008.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama Mahfuz turut menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) kerana gagal mengawal keselamatan di perairan Sabah.
Sebaliknya menurut Mahfuz, Najib mensia-siakan kuasanya dalam MKN dengan memantau aktiviti pihak pembangkang termasuk memintas e-mel demi memastikan kuasa kerajaan Pusat terus berada dalam genggaman Barisan Nasional (BN).
“Perdana Menteri seharusnya melepaskan jawatannya kerana gagal uruskan MKN untuk mempertahankan negara,” katanya.
Beliau turut mendesak supaya perjanjian syarikat dan agensi yang terlibat dalam pembelian pertahanan semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) didedahkan kepada umum.
Katanya, ini bagi mengelakkan sebarang salah guna kuasa dan pembaziran berlaku sama seperti kes pembelian kapal selam Scorpene yang membabitkan komisyen RM540 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.