Mulai hari ini, 3 April 2013, Persekutuan Malaysia berada dibawah 'pentadbiran' apa yang disebut sebagai 'kerajaaan
sementera' atau 'caretaker government.' Begitu juga kedudukan di
negeri-negeri yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, ditadbir oleh
Exco atau Kabinet Negeri.
Walaupun kewujudan 'kerajaan sementara' tidak terdapat dalam
Perlembagaan, ia lebih merupakan satu konvensyen demokrasi yang
berkiblat ke London. 'Kerajaan sementara' hanya bertindak selaku
pemegang kuasa sementara bagi memastikan perjalanan pentadbiran tanpa
ganggu gugat tetapi tidak boleh melakar sebarang dasar baru atau
melancar apa-apa projek pembangunan baru.
Satu persoalan yang menarik mengenai 'kerajaan sementara' dalam
hubungan dengan Malaysia ialah 'siapa mereka' kerana dalam sistem
pentadbiran di bumi bertuah ini, ada Kabinet atau Jemaah Menteri dan
ada pula timbalan menteri yang bukan anggota Kabinet.
Pengalaman saya semasa berkhidmat di pejabat Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri ialah timbalan menteri tidak menghadiri mesyuarat Kabinet dan
tidak boleh memangku jawatan menteri sekiranya bosnya bercuti atau
bertugas di luar negeri. Lazimnya, jawatan menteri berkenaan akan
dipertanggungjawabkan kepada seorang menteri lain, iaitu seorang anggota
Kabinet.
Ini kerana Kabinet adalah 'kerajaan' yang mentadbir negara seperti yang
termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Timbalan Menteri
bukan anggota Kabinet dan dengan sendirinya tidak seharusnya berada
dalam 'kerajaan sementara' apabila Parlimen dibubarkan.
Tetapi, apa yang berlaku dan diamalkan di Malaysia adalah sebaliknya.
Timbalan Menteri terus memegang jawatan dan menjalankan tugas seperti
biasa seolah-olah mereka adalah Jemaah Menteri sedangkan mereka tidak
mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri atau dilantik oleh
Yang diPertuan Agong sebagai Menteri.
Perkara ini mungkin berlaku kerana wujudnya Perkara 43A Perlembagaan
Persekutuan yang menghuraikan mengenai pelantikan timbalan menteri,
khususnya 43A (1) yang membolehkan pelantikan dibuat dalam masa Parlimen
dibubarkan. Timbalan-timbalan Menteri ditugaskan membantu
Menteri-Menteri pada menjalankan kewajipan-kewajipan dan tugas-tugas
mereka.
Kita boleh terima sekiranya kewajipan dan tugas berkenaan adalah
dibawah 'kerajaan bukan sementara' tetapi tidak seharusnya diteruskan
apabila kerajaan bersifat 'sementara' ekoran pembubaran Parlimen.
Mereka yang sepatutnya kekal dalam 'kerajaan sementara' adalah Jemaah
Menteri atau Kabinet yang wujud sebelum pembubaran Parlimen.http://kudaranggi.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.