Halaman

Khamis, 4 April 2013

Jaminan Peralihan Kuasa Dengan Aman: Sejauh Mana Tindakan Najib?

Editor BULTIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita17/Ust%20Riduan.jpgPerdana Menteri telah mengisytiharkan parlimen dibubarkan bagi memberi laluan pilihanraya umum ke 13 dilangsungkan. Antara intipati menarik ucapan PM dalam pengumuman semalam adalah jaminan beliau bahawa sebarang peralihan kuasa selepas pilihan raya umum ke 13 akan berlangsung dengan aman. Komitmen beliau diungkapkan dengan usaha kerajaan sedia ada sentiasa menjunjung prinsip demokrasi, tekad transformasi politik yang dilaungkan serta serta komitmen dalam menghormati suara rakyat.

Rakyat memegang janji dan jaminan PM itu dan segala kata-katanya mesti dibuktikan dengan tindakan, bukan hanya perkataan semata-mata. Tindakan paling utama bagi membenarkan kata-katanya adalah beliau sepatutnya melantik PM dan kerajaan sementara bagi mentadbir negara tanpa diganggu oleh BN. Tidak ada pemimpin yang masih berlagak menteri turun merasmikan sesuatu aktiviti atau projek di kawasan dengan peruntukan kerajaan manakala pegawai-pegawai kerajaan bawahannya dikerah turun untuk berkempen bagi pihak dirinya.

Rakyat pula diberikan maklumat yang adil dan benar melalui sesi penerangan secara terbuka. Rakyat tidak diugut dengan pelbagai tindakan sekiranya memilih parti yang lain dari pemerintah, diberi ganjaran atau habuan seperti hadiah dan lain-lain. Selain itu, Datuk Seri Najib perlu memastikan tiada kempen politik kotor seperti provokasi melampau, serangan peribadi, memfitnah, video lucah dengan tujuan mengaibkan dan lain-lain lagi.

DS Najib perlu memberi jaminan bahawa media dibenarkan membuat liputan dengan adil dan bebas dengan semua pihak diberikan peluang berkempen dengan masa yang sama dan telah ditetapkan. Jika beliau mempunyai masa berjam-jam di televisyen, bebas berucap di mana sahaja dengan bersiaran langsung, berforum, beliau juga perlu memberikan peluang yang sama kepada Pakatan Rakyat, bukan hanya 10 minit seperti yang ditawarkan sekarang.

Beliau juga perlu memastikan tidak ada insiden keganasan dilakukan khususnya oleh penyokong-penyokong partinya terhadap penyokong lawan politik beliau.  Beliau mesti berupaya menghalang penyokong partinya dari bertindak ganas serta memberi kuasa kepada pihak keselamatan menahan dan mengangkap pencetus keganasan termasuk dari penyokong partinya sendiri.

Perjalanan pilihan raya pula perlu berlangsung dengan aman dan bersih tanpa ada cara kotor seperti manipulasi undi, penipuan dalam daftar pemilih, pengundi ragu, rakyat luar negara diberi kad pengenalan dan dibenarkan mengundi, pengundi yang dipindahkan dan lain-lain lagi.

Akhirnya, beliau harus akur dengan kehendak rakyat serta menerimanya dengan hati terbuka. Jika rakyat menerimanya, beliau kembali memimpin negara namun jika rakyat menolak beliau, beliau menerima dengan hati terbuka.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.