Alazri dan keluarganya sedih kerana alatan sekolah anak mereka musnah.
Kanak-kanak ini terkejut dan trauma apabila melihat keadaan rumahnya yang berselerak dan dinding pula dipenuhi kesan peluru dan bom.
Ayahnya, Alazri Kamsa, 42, memberitahu Sinar Harian, anaknya amat sedih kerana buku latihan dan beg sekolah berlubang dirobek peluru.
Menurut Alazri, anak-anaknya adalah jenis yang suka ke sekolah.
"Semua kelengkapan sekolah empat anak kami hancur termasuklah kasut, pakaian dan alatan menulis. Saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang sekolah mereka kerana kejadian pada 3 Mac terlalu pantas.
Apabila orang kampung menjerit pengganas memasuki kampung ini, saya terus mengambil dokumen penting dan ahli keluarga sahaja.
“Saya amat sedih melihat buku-buku latihan yang hancur. Apapun saya akan pentingkan pelajaran anak-anak saya, saya mahu lihat mereka ke menara gading,” katanya.
Alazri turut memberitahu, motosikal yang digunakan untuk menghantar anaknya ke sekolah juga musnah. Jarak rumahnya ke sekolah SK Tanjung Labian kira-kira 3 KM.
Isteri Alazri, Karisa Mahmud, 36, berkata, empat anaknya yang masih bersekolah adalah Alazrul, 16, Alazril, 14, Siti Nursina, 9, dan Siti Nursila, 6. Anak sulung mereka Siti Nursima pula berusia 18 tahun.
Katanya, kejadian pencerobohan pengganas Kiram di kampung ini akan dijadikan iktibar dan mendorong anaknya belajar lebih gigih dan boleh mengubah masa depan keluarga.
Kelmarin, pihak berkuasa mengumumkan SK Tanjung Labian dan SK Fajar Harapan dibuka semula untuk sesi pembelajaran Isnin ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung Labian, Arwida Arasad, 29, berkata, pakaian sekolah adiknya hancur kerana rumahnya musnah akibat dari pertempuran pasukan keselamatan dengan pengganas Kiram.
Katanya, hanya dua pasang pakaian sekolah terselamat kerana ketika kejadian, pakaian itu di ampaian.
“Buku teks semuanya hancur, tiada apa yang terselamat. Saya tidak tahu bagaimana adik saya mahu belajar tanpa buku teks. Saya tetap berpesan kepada adik, walaupun segalanya musnah, pelajaran mesti diutamakan. Saya akan pastikan adik saya ke sekolah Isnin ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.