Oleh: Aedi Asri
SARAWAK : Keengganan Tan Sri Abdul Taib Mahmud disiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia menunjukkan ketua menteri Sarawak itu mahu
menjadikan SPRM sebagai keldai tunggangan.
Ketua Angkatan Muda Sarawak (AMK), Ahmad Nazib Johari merujuk
kenyataan Abdul Taib hari ini, mengatakan tidak akan bekerjasama dengan
SPRM berhubung satu video yang didedah oleh NGO antarabangsa, Global
Witness.
Rakaman video berkenaan sebelum ini membongkar skandal pembalakan
melibatkan keluarga Taib dan bagaimana keluarganya merampas tanah
pedalaman yang didiami rakyat miskin Sarawak.
Bagaimanapun, memetik Malaysiakini, Abdul Taib hari ini menyifatkan
SPRM ‘tidak layak’ mendapatkan kerjasamanya, dan mendakwa badan itu
bertindak ‘nakal’ dan ‘tidak jujur.
Mengulas lanjut, Ahmad Nazib berkata, SPRM selaku badan autoriti
dalam kes tersebut, sepatutnya menyiasat Taib memandangkan beliau
menjadi ‘watak utama’ dalam video berkenaan.
“Abdul Taib adalah orang paling utama yang disebut dalam video. Jika
beliau tidak disiasat, maka pendakwaan tidak dapat dibuat. Ini
seolah-olah SPRM jadi keldai tunggangannya sahaja,” katanya yang turut
menyifatkan Taib sangat angkuh kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Beliau merasakan dirinya berkuasa penuh di Sarawak, dialah raja,
dialah Tun…Undang-undang di tangannya,” katanya lagi ketika dihubungi.
SPRM pada 20 Mac lalu mengesahkan siasatan dijalankan ke atas
maklumat video tersebut yang antara lain merakam percakapan ahli
keluarga Taib dan rakan perniagaannya yang menyalahgunakan lesen
pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.
Suruhanjaya itu dilapor turut menjalankan serbuan ke atas pejabat
seorang peguam yang dikaitkan dalam video terbitan NGO antarabangsa itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.