KL TODAY
KUALA LUMPUR:
Tuntutan royalti petroleum RM12 bilion oleh kerajaan negeri Kelantan
tidak bersandarkan kepada asas-asas munasabah, menurut kenyataan
pejabat Perdana Menteri (PMO). Menurut PMO, tuntutan itu bukan sahaja
tidak munasabah dari segi perundangan, tetapi juga dari tatacara
teknikal berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran gas dan minyak
di kawasan yang terlibat.
“Mengikut
undang-undang, adalah jelas bahawa Negeri Kelantan, sepertimana juga
Negeri Terengganu dan semua negeri di Semenanjung Malaysia hanya
mempunyai hak untuk menuntut bayaran hasil petroleum yang dikeluarkan
dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak
melebihi tiga batu nautika dari ukuran garis air surut ataupun
pesisiran pantai negeri,” menurut PMO.
Menurut
PMO, kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil petroleum di luar perairan
negeri Kelantan adalah Blok PM301, Blok PM2, Kawasan Pembangunan
Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) dan Kawasan Pengaturan Komersil di
antara Malaysia and Vietnam (PM3 CAA).
“Blok
PM301 dan Blok PM2 melebihi tiga batu nautika dari garis air surut atau
persisiran pantai Negeri Kelantan tetapi berada dalam kawasan perairan
Malaysia. MTJDA pula merupakan kawasan yang dituntut Thailand dan PM3
CAA merupakan kawasan yang dituntut Vietnam,” menurut kenyataan itu
yang dikeluarkan di sini, Selasa.
Menurut
PMO, kawasan yang dituntut Thailand iaitu MTJDA adalah di bawah pihak
berkuasa bersama Malaysia-Thailand (MTJA) yang bertanggungjawab
mengawal selia aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ini dan bukan hanya
tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sahaja. “Ini adalah kerana isu
sempadan laut di antara kerajaan Malaysia dan Thailand sehingga kini
masih belum diselesaikan secara muktamad,” kata PMO.
Oleh itu,
Malaysia dan Thailand telah memeterai Memorandum Persefahaman yang
perlu dipatuhi kedua-dua negara selagi isu sempadan laut tidak dapat
diselesaikan, menurut PMO.
“Ini
adalah untuk mengelakkan pertelingkahan di antara Malaysia dan
Thailand. Kedua-dua negara telah bersetuju supaya bayaran lima peratus
daripada nilai pengeluaran petroleum dibuat kepada Malaysia, dan
Thailand juga menerima lima peratus daripada nilai pengeluaran
petroleum,” menurut PMO.
Menurut
PMO, kawasan ini telah mengeluarkan hasil semenjak tahun 2005 dan
sehingga tahun 2012, kerajaan Persekutuan telah menerima bayaran
berjumlah US$600.27 juta ataupun RM2.1 bilion daripada kawasan tersebut.
Selain
itu, tuntutan RM12 bilion kerajaan negeri Kelantan adalah tidak
munasabah kerana jumlah bayaran yang diterima oleh kerajaan Persekutuan
daripada kesemua empat kawasan, iaitu MTJDA (Malaysia-Thailand), PM
CAA (Malaysia-Vietnam), Blok PM301 dan Blok PM2 yang mengeluarkan hasil
petroleum sehingga kini adalah RM4.58 bilion.
“Kerajaan
Negeri Kelantan bukan sekadar menuntut apa yang tidak termaktub dalam
undang-undang bahkan tuntutan mereka itu berkali-kali ganda lebih
daripada apa yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan.
“Memandangkan
tuntutan ini tidak ada asasnya, maka tindakan pihak-pihak tertentu
dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti untuk mengelirukan rakyat Kelantan
adalah amat dikesali,” kata PMO.
Menurut
PMO, kerajaan Persekutuan sebenarnya berbelanja dalam jumlah yang lebih
besar melebihi jumlah hasil yang dikutip daripada negeri Kelantan.
Menurut
PMO, umpamanya bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2012, perbelanjaan
kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM26.37 bilion berbanding hasil
yang dikutip daripada negeri Kelantan bagi tempoh yang sama berjumlah
RM2.07 bilion.
“Jika
dinisbahkan, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berbanding dengan
kutipan hasil di negeri Kelantan, adalah sangat besar, iaitu 13:1.
Perbelanjaan
Kerajaan Persekutuan adalah merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah
RM20.03 bilion, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.84 bilion dan
pemberian kepada kerajaan negeri berjumlah RM1.5 bilion.
Hasil
dikutip dalam bentuk Cukai Langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN) berjumlah RM1.41 bilion, Cukai Tak Langsung oleh Jabatan Kastam
Diraja Malaysia berjumlah RM0.31 bilion dan Hasil yang dipungut oleh
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM0.35 bilion.
Selain itu
menurut PMO, kerajaan Persekutuan telahpun bersetuju menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Khas untuk mengkaji isu bayaran tunai daripada hasil
petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur. “Kerajaan Persekutuan
telah melantik ahli-ahli yang non-partisan, pakar-pakar dalam bidang
berkenaan dan wakil-wakil Kerajaan Negeri yang terlibat untuk
menganggotai Jawatankuasa Khas ini yang akan menentukan sama ada
negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia berhak dari segi
undang-undang menerima bayaran tunai hasil petroliam di Pantai Timur
Semenanjung Malaysia dan kaedah pembayarannya,” menurut PMO.
“Jelas
daripada semua yang tersebut di atas, Kerajaan Persekutuan telah
berlaku adil kepada negeri dan rakyat Kelantan,” menurut PMO sambil
menambah, ini membuktikan keterbukaan kerajaan Persekutuan untuk
menyelesaikan perselisihan faham antara semua pihak secara munasabah dan
konstruktif.
Usaha
Kerajaan Persekutuan ini adalah untuk menjamin bahawa hak-hak semua
pihak ditentukan berlandaskan undang-undang yang terpakai pada masa
kini, menurut PMO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.