Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata pistol berkenaan dipercayai milik seorang pesakit lelaki yang dimasukkan ke wad hospital itu untuk rawatan demam denggi pada kira-kira 2 pagi hari sama.
Beliau berkata penemuan oleh tukang cuci wanita berusia 40 tahun itu berlaku selepas seorang pesakit mengadu tidak dapat mengepam tandas pada kira-kira 8 pagi.
"Tukang cuci itu cuba mengepam tandas beberapa kali tetapi gagal lalu membuka penutup tangki air dan terkejut apabila mendapati sepucuk pistol tersangkut pada penarik pam air," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.
Abdul Ghafar berkata tukang cuci itu memaklumkan penemuan pistol berkenaan kepada pihak pengurusan hospital, yang kemudian menghubungi polis.
Beliau berkata seorang lelaki yang dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira enam jam sebelum itu didapati menghilangkan diri selepas pistol itu ditemui.
Siasatan polis mendapati lelaki itu terbabit dalam satu kes cubaan membunuh dan melepaskan tembakan pada tahun lepas, selain memiliki sembilan rekod jenayah membabitkan kesalahan samun, dadah, memiliki senjata api, pecah rumah dan ekor haram, katanya.
Abdul Ghafar berkata sehubungan itu, polis menjejaki Yeoh Choon Wah, 35, nombor kad pengenalan 780902-07-5221 dan alamat terakhirnya ialah Nombor 21, Lorong Beringin 1, Taman Beringin, Sungai Petani.
Beliau berkata mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Tay Boon Keong di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 012-3284 837 atau mana-mana balai polis terdekat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Berat) 1971.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan