Anak
atau kanak-kanak bawah umur yang memeluk agama Islam bersama bapa perlu
diserahkan di bawah jagaan ibu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini tetapi ia masih perlu perbincangan yang lebih mendalam.Kenyataan Ketua Pembangkang tersebut hadir selepas disoal wartawan tentang Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Biasanya dalam ketetapan Islam seperti yang disebut Nabi apabila anak kecil masuk Islam bersama ayah tetapi ibu bukan Islam, anak itu akan dikembalikan kepada ibu untuk dijaga," kata Anwar apabila ditanya wartawan di lobi Parlimen.
Rang Undang-Undang yang dibentangkan tersebut mendapat tentangan daripada parti komponen kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat (PR) kerana bercanggah dengan keputusan Kabinet pada tahun 2009 yang tidak membenarkan penukaran agama secara satu pihak sahaja.
Bagaimanapun, Anwar memberitahu Pakatan Rakyat (PR) masih belum mencapai kata putus bagi memberi maklum balas terhadap isu berkenaan Rang Undang-Undang tersebut yang dijangka dibentang dalam dua minggu lagi, selain menyatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk membincangkan perkara tersebut.
"Saya mengadakan perbincangan dengan Tok Guru Hadi Awang, PAS, Keadilan dan juga Guan Eng sebelum memberi respon kepada umum tentang isu ini," kata Anwar merujuk kepada PKR, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng.
"Saya juga tengah merancang untuk bertemu dengan NGO, Ambiga juga akan bertemu dengan saya, kami sekarang dalam siri perbincangan".
Menurut ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, Rang Undang-Undang tersebut perlu dibincangkan secara terbuka dan adil bagi mengelak berlaku pertelingkahan antara penganut agama-agama lain.
"Perrkara ini kita akan bincangkan dengan pihak yang berkaitan sebab tidak mahu berlaku pertelingkahan antara agama lain," tambahnya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan untuk membenarkan salah seorang daripada ibu atau bapa untuk menukar agama anak di bawah umur kepada Islam adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan Perlembagaan.
Muhyiddin menegaskan kerajaan sedar dengan rungutan mengenai Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Beliau juga berkata kebimbangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menimbulkan bantahan terhadap cadangan itu juga akan dipertimbangkan.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam berkata akan memberi penjelasan kepada ahli-ahli Parlimen berhubung Rang Undang-Undang baru itu.
"Kita akan tengok dengan sebaik mungkin dengan merujuk pada semua pandangan.
"Kita akan bagi taklimat pada ahli parlimen sebelum masuk bacaan Rang Undang-Undang kedua," katanya ringkas.
Rang pindaan tersebut menerima tentangan keras, termasuk dari MIC dan MCA, selain dari Majlis Peguam, DAP dan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.