Halaman

Sabtu, 3 Ogos 2013

‘Awang Selamat’ Utusan desak kerajaan ambil tindakan tegas pihak hina Islam

Oleh Mohd Farhan Darwis

Kolumnis Awang Selamat dalam artikelnya di akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menghina Islam dan bukan sekadar memberi amaran seperti yang selalu berlaku.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga Jabatan Peguam Negara tegas Awang perlu mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap salah laku sedemikian.

"Agama Islam sudah lama termaktub dalam Perlembagaan. Jadi Awang harap pihak yang diamanahkan supaya mempertahankan dan terus memelihara Islam.

 "Kuasa yang ada wajar digunakan dengan bijak, kuasa tidak bererti hanya dengan memberi amaran sahaja.
Sebab terbukti amaran demi amaran menyebabkan musuh Islam semakin menajamkan kukunya," kata Awang dalam ruangan itu.

Malah, beliau turut menyuarakan harapan selepas tindakan hukuman dikenakan terhadap pasangan blogger lucah Alvin Tan dan Vivian Lee, termasuk individu menyambut Aidilfitri bersama Anjing, Maznah Mohd Yusof, iada lagi kes penghinaan terhadap Islam akan berlaku.

Alvin dan Vivian dikenakan tindakan undang-undang, manakala Maznah atau Chets dibebaskan dengan jaminan polis.

Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga ekor anjing dimuat naik ke dalam YouTube pada Isnin.

Video itu menunjukkan Maznah membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar berhampiran pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Maznah memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya seolah-olah mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)."

Awang turut menggesa agar segala bentuk produk yang menghina Islam melalui penulisan, kartun, dan video klip perlu dihentikan serta-merta demi keharmonian beragama di negara ini.

Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.

"Sesiapa yang mengulangi perkara serupa harus diingatkan mereka perlu membayar harga yang tinggi atas perbuatannya dan bersedia menghadapinya," Awang memberi amaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.