Bagi penyanyi rap yang tidak pernah sepi dengan kontroversi, kata-kata akhir yang diluahkan Namewee adalah, “saya dah penat”.
“Saya dah tak tahan lagi. Saya dah berusaha keras, menghabiskan banyak
masa dan menyatukan belia melalui filem namun ini yang saya dapat,”
katanya kepada The Malaysian Insider merujuk serangan akhbar milik
Umno, Utusan Malaysia dan pihak tertentu.
Dia dijadikan bahan berita atas sebab yang sama - dia menyanyi mengenai
kerenah manusia dan persekitaran yang sama sekali kita tidak jangkakan
dalam sesebuah lagu rap. Inilah yang mengundang kemarahan pihak berkuasa
dari masa ke masa. Namun kali ini berbeza. Namewee kali ini tampil
memberi sokongan kepada filem yang dianggap menyemarakkan komunisme oleh
Mingguan Malaysia (Utusan Malaysia).
Semalam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Perkasa meminta
kerajaan melucutkan kerakyatan Namewee. Timbalan Presiden Perkasa, Datuk
Abdul Rahman Abu Bakar berkata, NGO itu membuat laporan polis tidak
terkira banyaknya namun pejabat Peguam Negara tidak mengambil tindakan.
Namewee berkata, “Panggillah saya rasis. Panggil apa juga yang mereka
mahu. Saya tak perlu pertahankan diri atau menjawab tuduhan mereka.”
Namewee dikritik hebat oleh kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat
pada Ahad memanggil Namewee sebagai rasis, kebudak-budakan dan seorang
yang tidak memahami sejarah.
Awang, nama samaran yang digunakan oleh pengarang Utusan dalam akhbar
mingguannya itu menggelar Namewee sebagai pelampau kerana membantah
penggantungan tayangan filem The New Village (TNV).
Pendapat itu
disuarakan oleh pengarah dan juga pelakon itu yang mengirim satu video
di YouTube berjudul “Double Standard” berkata penangguhan TNV melihatkan
satu tindakan pilih kasih. Namewee hairan kerana TNV diluluskan oleh
Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada tapisan pertama dahulu.
“Apa halnya meluluskan filem yang kemudiannya boleh digantung? Saya tak
tahu apa dah jadi. Namun ini satu masalah serius,” katanya. “Ini
pastinya akan meningkatkan kos produksi filem.”
Namewee seorang graduan dalam bidang komunikasi massa dari salah sebuah
universiti di Taiwan. Di situlah bermulanya dia mencipta nama pada 2007
dengan menghasilkan satu lagu rap betajuk “Saya cintakan negara saya,
Negaraku”. Namewee dikritik kerana mempersendakan lagu kebangsaan dan
laungan azan. Dia disiasat polis setahun kemudian sekembalinya dari
Taiwan.
Dia juga mengundang kontroversi apabila menerbitkan video mengkritik
pengetua sekolah di Johor yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Namewee disiasat kerana menghasut melalui muat naik video di YouTube.
Pada 2011, Namewee sekali lagi mencuri perhatian Utusan Malaysia apabila
penulisnya Fauziah Arof menulis beliau tidak akan menonton filem
Namewee, Nasi Lemak 2.0. Namewee dalam maklumbalas terhadap artikel
tersebut berkata Fauziah tidak perlu menulis mengenai filemnya jika
masih belum menonton Nasi Lemak 2.0.
Apabila ditanya adakah dia bimbang polis akan datang menyiasat terhadap
penerbitan video kontroversi itu, Namewee berkata polis seharusnya
menangkap orang jahat sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.