DAP hari ini menuntut Putrajaya berterus terang di mana lokasi sebenar loji nuklear kerana jawapan di Parlimen berbeza dengan laporan Pertubuhan Nuklear Dunia, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (gambar).
Parlimen dalam jawapan kepada Santiago berkata, Putrajaya tidak bercadang membina loji nuklear, namun laporan pertubuhan berkenaan menunjukkan kerajaan mengenal pasti lima lokasi untuk membina loji berkenaan.
"Saya menuntut Putrajaya memberikan jawapan yang tepat kerana dalam jawapan yang diberikan kepada saya di Parlimen mengatakan kerajaan tidak bercadang membina loji berkenaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, katanya, semakannya di laman web pertubuhan berkenaan mendapati sejumlah tiga hingga empat reaktor dengan bekalan 10 hingga 15 peratus tenaga elektrik menjelang 2030 akan dibina dalam negara.
Jawapan yang diberikan kepada Santiago di Parlimen berkata: "Pada masa ini kajian penilaian tapak loji janakuasa nuklear belum dilaksanakan, oleh itu lokasinya juga belum diputuskan."
Maklumat terbaru dimuat naik dalam laman web pertubuhan nuklear pada 2013, mengatakan di awal 2010 kerajaan memperuntukkan sejumlah USD7 bilion bagi sebuah loji janakuasa berkenaan.
Jawapan yang diperolehi Santiago juga mengatakan aktiviti yang sedang dijalankan kerajaan tertumpu kepada kajian menyeluruh tentang kesediaan infrastruktur perundangan dan kawalseliaan nuklear negara, dan Kajian Kemungkinan, termasuk penyediaan Pelan Pembangunan Infrastruktur Kuasa Nuklear.
"Kajian ini berdasarkan Projek Permulaan Kesebelas di bawah sektor Minyak, Gas dan Tenaga dalam Program Transformasi Ekonomi. EPP ini mencadangkan dua buah loji janakuasa nuclear,” katanya.
Dalam jawapan itu turut menyatakan, sekiranya projek pembinaan loji nuklear itu dimuktamadkan, jaminan diberikan untuk mendapatkan maklum balas masyarakat setempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan