Johor akan mengkaji semula caj bekalan air mentah ke Singapura yang masih belum dinaikkan sejak 52 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah
Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohamad berkata Johor mahu meningkatkan
pendapatannya dan sedang meneliti perjanjian bekalan airnya dengan
Singapura, Melaka dan Syarikat Air Johor (SAJ).
Menurut Hasni, setiap bulan Johor menerima bayaran RM1.2 juta dari SAJ
dan RM230,000 dari kerajaan Melaka manakala Public Utilities Board
(PUB), Singapura membayar RM200,000.
Beliau berkata, berdasarkan Perjanjian Malaysia-Singapura pada 1961 dan
1962, PUB membeli air pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen
(4,546.09 liter) air mentah dan menjual air terawat pada harga 50 sen
setiap 1,000 gelen kepada Johor.
“Singapura menerima 250 juta gelen air mentah dari kita manakala kita
hanya menerima 16 juta gelen air terawat daripada Singapura setiap hari.
Kita telah membawa hujah bagi kenaikan harga ini kepada kerajaan Pusat
yang akan membawa perkara berkenaan kepada Singapura," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat
Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd di Bangunan Sultan Ibrahim sini hari
ini.
Bagaimanapun, Hasni berkata terpulang kepada kerajaan Pusat untuk
menaikkan atau tidak harga bekalan air mentah kepada Singapura.
"Diharapkan tiada masalah apabila Malaysia membincangkan perkara ini
dengan pihak Singapura dan kerajaan negeri percaya ia dapat diselesaikan
akhir tahun ini," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan