Halaman

Jumaat, 15 November 2013

DAP: Belanja RM270 juta sia-sia, keputusan bahasa Inggeris UPSR merosot

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
























Biarpun RM270 juta dibelanjakan oleh Kementerian Pendidikan bagi program mentor bahasa Inggeris, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menunjukkan kemerosotan dalam subjek itu oleh murid sekolah bantuan kerajaan, kata Zairil Khir Johari (gambar).

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud mengumumkan prestasi keseluruhan calon UPSR tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, katanya, semakan lanjut DAP menunjukkan terdapat penurunan yang ketara dalam keputusan kertas Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah kebangsaan.

“Bilangan calon yang mendapat gred A untuk subjek Bahasa Inggeris menurun sebanyak 0.2 peratus, manakala jumlah mereka yang mendapat gred B dan C turun sebanyak 2.9 peratus.

“Hanya 74.4 peratus daripada calon sekolah kebangsaan berjaya mencapai sekurang-kurangnya C tahun ini, berbanding 77.3 peratus pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, Abdul Ghafar meremehkan kemerosotan subjek Bahasa Inggeris dengan mengatakan bahawa “Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Bahasa Inggeris di sekolah kerajaan hanya menurun sebanyak 0.06 mata berbanding tahun lalu dan ini bukan isu besar”.

Zairil yang merupakan anak kepada bekas Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari tidak bersetuju dengan kenyataan Abdul Ghafar yang disifatkannya mengejutkan kerana kerajaan banyak melabur beberapa tahun kebelakangan ini dalam pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah.

“Sebagai sebahagian daripada program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI), RM270 juta dibelanjakan untuk mengambil 360 mentor bahasa Inggeris antarabangsa melalui tiga firma perunding iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group.

“Program mentor yang menelan belanja RM270 juta itu berlangsung dari 2010 hingga 2013 dan sepatutnya melatih 7,500 guru bahasa Inggeris sekolah rendah di serata negara,” katanya.

Beliau berkata, dengan kos yang tinggi itu sudah tentu pelajar sekolah rendah akan menunjukkan setidak-tidaknya sedikit peningkatan dalam keputusan bahasa Inggeris tahun ini.

Katanya, keputusan UPSR tahun ini adalah satu tamparan hebat kepada usaha Kementerian Pendidikan setelah prestasi keseluruhan sekolah jenis kebangsaan pula menyaksikan peningkatan 0.12 mata dengan bilangan murid mencapai A meningkat sebanyak 4.2 peratus manakala murid yang mendapat B dan C meningkat sebanyak 2.1 peratus.

“Dalam erti kata lain, sekolah jenis kebangsaan yang tidak mendapat manfaat daripada program mentor antarabangsa bahasa Inggeris berjaya meningkatkan penguasaan dalam bahasa tersebut.

“Sebaliknya, keputusan sekolah kebangsaan merosot walaupun kerajaan membelanjakan RM270 juta dalam tempoh tiga tahun dalam usaha khusus untuk meningkatkan tahap kemahiran bahasa Inggeris di sekolah rendah kebangsaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.