Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan persediaan mereka untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan bermula April 2015, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar).
Pengerusi PAC itu berkata, penjelasan kedua-dua jabatan kerajaan berkenaan penting bagi melihat sejauh mana persediaan mereka dalam memastikan hasil negara dapat dikutip sebaiknya.
“PAC mahu mendengar persediaan dua agensi ini kerana peranan mereka amat penting dalam memastikan hasil negara dikutip dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Pulai itu turut memaklumkan PAC akan memulakan prosiding memanggil kementerian bermula pada Rabu depan bermula Kementerian Pengangkutan bagi memberikan penjelasan mengenai isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sabah.
Katanya, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan dipanggil pada Khamis berhubung isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop ketika sambutan Hari Belia Negara tahun lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, katanya, akan hadir bersama semua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang terbabit dalam program berkenaan.
Katanya, Kementerian Pendidikan pula akan memberikan keterangan keesokan harinya iaitu pada 27 November berhubung isu pengurusan perkhidmatan kawalan keselamatan di institusi pendidikan serta sekolah.
Sementara itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberikan keterangan berhubung pengurusan loji insinerator pada Selasa, 3 Disember.
Nur Jazlan berkata, semua kementerian dan jabatan kerajaan yang dipanggil diaudit oleh Jabatan Audit Negara tahun lalu dan laporan berhubung isu terbabit dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan bulan lalu di Parlimen.
“PAC juga sedang menyenaraikan beberapa kementerian, jabatan kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang akan dipanggil tahun depan bagi memberikan penjelasan terhadap pengurusan wang kerajaan berdasarkan beberapa kriteria dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.