Mahirah Zakaria
KUALA LUMPUR - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM1 juta dalam
Bajet 2014 bagi membeli segala persiapan dalam usaha merealisasikan
pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata,
hukum tersebut akan dilaksanakan setelah menerima maklum balas daripada
beberapa pihak termasuk pakar perlembagaan.
“Sebenarnya sebelum pilihan raya umum (lalu), kita telah beberapa kali
bincang tetapi tidak dedahkan, untuk tahun depan Menteri Besar telah
masuk RM1 juta dalam bajet untuk persiapan prasarana bagi melaksanakan
hudud.
"Kita tengok keperluan untuk laksana hudud tetapi nak buat, kena
dapatkan pandangan pakar dahulu, termasuk pensyarah universiti dan
pengamal undang-undang. Insya-ALLAH mereka akan bagi pendapat dan
selepas itu kita akan laksanakan,” katanya pada kuliah Jumaat di Dataran
Ilmu di Kota Bharu semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie
negeri, Datuk Daud Muhammad, yang menyatakan kesediaan pihaknya kuat
kuasa hudud selepas bangunan kompleks Mahkamah Syariah di Tunjung
beroperasi.
Menurut Mohd. Amar, terdapat beberapa kekangan yang membuatkan pihaknya
menangguhkan usaha pelaksanaan hukum itu termasuk kekangan dari Pusat.
“Sebelum ini kita berhenti kerana lampu merah (sekatan). Kita ‘free
gear’ tetapi tidak matikan (enjin) kereta, oleh kerana lama sangat, jadi
kita intai kalau-kalau polis tiada. Sekarang kita akan teruskan dengan
harapan polis tidak sekat," katanya.
Sementara itu, Persatuan Peranakan Cina Kelantan, mendakwa masih ramai
dalam kalangan bukan Islam tidak bersetuju pelaksanaan hukum hudud jika
ia melibatkan lain-lain kaum.
Penasihatnya, Law Awang berkata, Kelantan mempunyai masyarakat majmuk
dan hudud tidak sepatutnya dilaksanakan kepada kaum bukan Islam.
“Sekarang kalau mahu melaksanakan hukum hudud, ia melibatkan agama lain.
Kita tidak setuju tetapi jika dilakukan untuk agama Islam sahaja, kita
tidak membantah.
“Dalam masyarakat majmuk, kita tidak boleh buat begitu (hudud) kerana
apabila ia lulus, ia boleh melibatkan orang lain termasuk bukan Islam
secara automatiknya kerana kita berada di Kelantan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.