Apa yang Karpal Singh kata politik dan agama hanya dia dan Allah saja yang tahu. Lim Kit Siang, bos partinya pun tak tahu, maka Lim terpaksa tanya dia apa yang dia kata?
Telah diberitakan dia minta parti yang berasalkan kaum dan agama jangan didaftarkan dan yang sudah didaftarkan dibatalkan saja. Dikatakan termasuklah yang dimaksudkannya ialah PAS, suatu yang dinafikannya.
Apabila saya ditanya tentang Karpal dikatakan mahu PAS dibatalkan pendaftarannya kerana ia parti agama, payah saya mempercayainya.
Pertama dia adalah seorang peguam yang terbilang dan tentu dia tidak bercakap loyar buruk atas perkara itu. Kedua dia seorang politik yang pintar dan partinya bersekutu dengan PAS, maka tidak sebodoh itu politiknya.
Telahan saya tepat apabila penjelasan Karpal tidak memasukkan PAS dalam parti-parti yang dimaksudkannya. PAS cukup kelayakan bagi mengekalkan pendaftarannya. Ia politik untuk semua kaum. Berbagai-bagai kaum menjadi ahlinya dan berbagai-bagai penganut agama menyertainya.
Reaksi awal saya tentang anggapan PAS adalah parti agama, ia tidak tepat.
Tidaklah ia didaftarkan sebagai parti Islam justeru pegangan ritualnya semata-mata. Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi ia ada politiknya, ekonominya, sosialnya dan undang-undangnya.
Sekadar ia hendak memperkenalkan agamanya untuk solat, puasa dan zakat tak terdesak ia menubuhkan parti politik. Cara mana hendak membaca Quran dengan betul, bagaimana sah sembahayang dan puasa, memadai dengan mendirikan surau dan masjid, adakan kuliah dari semasa ke semasa.
Tetapi Islam itu ada politiknya, jika politiknya diabai dan tidak disempurnakan, maka tidak lengkap Islam itu sebagai agama. Di sinilah tidak sama Islam dengan agama-agama lain yang tidak ada tuntutan politiknya.
Atas tuntutan politiknya ia menubuhkan parti politik dan mendaftarkannya sebagai parti politik. Ia mendaftarkannya sebagai parti politik bukan di bawah peruntukan ritualnya tetapi melaksanakan tuntutan politiknya.
Tuntutan politiknya tidak dapat dilaksanakan kiranya ia tidak ada sayap politik. Bagaimana sebuah pemerintah yang hendak melaksanakan peraturan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya jika tidak ditegak satu kerajaan yang melaksanakan aturan dan peraturan Islam. Untuk menegakkan kerajaan itu ia mesti ada jamaah atau parti.
Politiknya bukan sekadar menjaga kepentingan Islam dan umat Islam saja. Dalam mana-mana masyarakat Islam akan ada juga orang bukan Islam sama seperti dalam negara majoriti penduduknya bukan Islam akan ada masyarakat Islam. Maka masyarakat Islam yanag berkuasa, berkewajipan menjaga kebajikan semua rakyat termasuk yang bukan dan melindungi kepentingan mereka.
Dalam masyarakat yang pemerintahannya ditentukan oleh orang Islam saja seperti di Saudi dan di Brunei, ia tidak terdesak dengan masalah kemajmukan. Ia hanya memerlukan kebajikan dan hak bukan Islam itu ditunaikan sebak-baiknya.
Tetapi dalam masyarakat majmuk yang ketentuan dari masyarakat bukan Islam adalah penting, maka parti politik Islam amat diperlukan bagi memastikan kepentngan Islam dan umatnya terpelihara dengan memelihara segala hak orang bukan Islam.
Hak bukan Islam seperti hak Yahudi dan Kristian di Palestin yang dikuasai oleh Islam dulu terjamin, tetapi Islam dalam pemerintahan Yahudi dan Kristian tidak terjamin. Lihat saja apa yang terjadi pada tanah dan harta orang Islam di Israel?
Di negara-negara Islam sekular seperti Turki, tidak menjamin hak beragama bagi Islam, maka hak itu lagi tidak dipastikan di negara majoriti bukan Islam. Bagi memelihara Islam terjamin, maka di situlah letaknya keperluan politik Islam. Dalam Islam, ketahanan akidah atau spiritualnya ditentukan oleh kekuatan politiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan