Kenyataan panas itu mendapat liputan dari semua portal berita dan akhbar tempatan.
ANALYSIS
PETALING JAYA: Apa nak jadi dengan parti pembangkang yang kononnya memperjuangkan kebebasan akhbar? Setiap kali isu meletup, media disalahkan.
Dua hari lepas, jam 5 petang, kami terima kenyataan akhbar melalui e mail daripada Timbalan Pesuruhjaya PAS, Mohd. Fauzi Yusof yang mengatakan PAS Pulau Pinang akan mengkaji kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat.
Maka kami proses kenyataan akhbar itu dan lahirlah berita “ PAS akan kaji kedudukan dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang” dalam FMT.
Kenyataan panas itu mendapat liputan dari semua portal berita dan akhbar tempatan. Kenyataan akhbar itu menyebut Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang secara terbuka mengancam akan melepaskan semua jawatan yang dipegang pemimpin parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri jika empat tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Ancaman itu dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusoff selepas beberapa surat yang dihantar kepada kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mendapat jawapan.
Tuntutan-tuntutan itu ialah tiada campur tangan dalam pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), bilangan ahli dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai bagi kuota Pas ditambah, kuasa penuh untuk melantik Jawatankuasa Kerja Kampung di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ditandingi Pas serta kuota ahli lembaga pengarah dalam anak-anak syarikat milik kerajaan negeri.
Bagi Umno Pulau Pinang, isu ini memang ditunggu-tunggu oleh mereka. Menurut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, ancaman yang dibuat secara terbuka oleh Pas Pulau Pinang untuk melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri jika tuntutan mereka tidak dipenuhi memperlihatkan campur tangan luar biasa DAP dalam hal ehwal agama Islam.
Beliau berkata, DAP seolah-olah berkuasa penuh untuk membuat keputusan apabila Exco Agama sendiri tidak dilantik daripada kalangan wakil rakyat Pas meskipun mereka lebih berpengetahuan serta berilmu dalam hukum Islam.
Selain itu jelasnya, apa yang berlaku turut membuktikan PAS hanya rakan kongsi kelas ketiga dalam pakatan pembangkang apabila pelantikan Jawatankuasa Kerja Kampung (JKK) dimonopoli oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kita melahirkan simpati terhadap Pas kerana mereka ibarat melukut di tepi gantang, seolah-olah tiada nilai dalam pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.
“Adalah lebih baik Pas mengkaji semula hubungannya dengan DAP dan PKR khususnya dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Hal ehwal orang Melayu, agama Islam dan rakyat keseluruhannya akan menjadi lebih baik jika tiada campur tangan pihak tidak berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Semalam Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, dalam perbincangan dengan kepimpinan tertinggi pembangkang Pulau Pinang hari ini, semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut secara dalaman dan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan akhbar.
Seperti lazim, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyalahkan pihak media yang didakwa memanipulasi serta memutar belit kenyataan yang dibuat Badan Perhubungan Pas negeri semalam.
“Semua setuju berbincang. Perselisihan pendapat itu perkara biasa dan kami memberi ruang untuk menyuarakan pandangan berlainan tapi ada kalanya kenyataan itu menjadi mangsa manipulasi jahat pihak media,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam.
Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man (gambar), Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd. Rashid Hasnon serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Dalam sidang akhbar tersebut, pihak media tidak berpeluang mengemukakan soalan apabila Guan Eng terus beredar atas alasan perlu menghadiri mesyuarat.
Sementara itu, Mohd. Salleh seolah-olah cuba menjaga hati sekutunya, iaitu DAP apabila menyangkal dakwaan berlaku campur tangan DAP dalam urusan hal ehwal agama Islam di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya akan mengkaji secara teknikal dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap pihak media terbabit jika tiada sebarang permohonan maaf diterima.
Nampak sangat pemimpin PAS tiada pendirian. Lain kali sebelum nak buat kenyataan akhbar, fikirlah habis-habis. Bila Lim Guan Eng gertak, pemimpin PAS sudah kecut telur. Sepatutnya Salleh Man sedar bahawa selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang beliau bukannya ada kuasa eksekutif. Kecualilah beliau dilantik Exco Hal Ehwal Agama Islam.
Jangan salahkan media dalam isu ini, sebaliknya salahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS, Fauzi Yusof yang gatal menghantar e mail kepada pihak media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan