Rozila menunjukkan kain pasang sutera yang dijualnya di Pasar Besar Kedai Payang.
KUALA TERENGGANU – Pasar Besar Kedai Payang amat dikenali dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara sebagai salah satu lokasi membeli-belah produk Terengganu terutamanya batik dan sutera.
Tidak hairanlah, setiap hujung minggu atau cuti umum, kawasan itu menjadi sesak dan meriah dengan kehadiran pelbagai jenis kenderaan seperti bas yang berulang alik menurunkan penumpang serta deretan kenderaan lain yang memenuhi parkir pasar itu.
Namun dalam kemeriahan itu, terdapat keluhan peniaga khususnya dalam kalangan peniaga batik dan sutera yang menyifatkan barangan itu kurang laku sejak kebelakangan ini, biarpun kerajaan melancarkan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Pembantu kedai Kamal Batik, Che Ku Rozila Che Ku Hasan, 40, berkata, jualan batik dan sutera kedai itu masih sama seperti tahun sebelumnya.
“Saya rasa semua ini berlaku disebabkan ekonomi semasa dan tidak adil untuk saya menyalahkan TMT, kerana kebanyakan pembeli mempunyai keinginan untuk membeli tetapi kewangan tidak mengizinkan.
“Pembeli lebih suka mengambil jalan mudah dengan membeli barang-barang yang berharga murah berbanding batik dan sutera yang mencecah RM200 ke atas,” katanya.
Menurut Rozila, pelancong lebih suka membeli barang yang lebih murah seperti ‘keychain’ dan baju T Terengganu berbanding mendapatkan batik dan sutera.
Tambahnya lagi, kain pasang (sutera) memang sukar untuk dijual tetapi bagi kain batik dan baju kaftan, ada pembelian namun dalam jumlah yang agak kecil sekitar RM100 sehari.
“Jika hendak dibandingkan dahulu, lebih 10 helai kain pasang mampu dijual sebulan, tetapi ketika itu ekonomi masih baik,” katanya.
Menurutnya, sekiranya jualan bertambah sekalipun, hanya pada musim perayaan tertentu sahaja, kalau tidak, jualan tidak meningkat langsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.