Oleh Nur Shakira Buang
DAMANSARA: PAS perlu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Pakatan
Rakyat (Pakatan) sekaligus membuat satu ketetapan berhubung arah tuju
kerjasamanya dengan PKR dan DAP, kata penganalisis politik Datuk A Kadir
Jasin.
Ini kerana menurut Kadir, PAS sehingga kini berdiam diri dan gagal
dengan pendirian mereka sebelum ini dalam menegakkan Islam dan
melaksanakan hudud.
"Kepemimpinan PAS perlu mengkaji dan membuat satu ketetapan arah tuju
kerjasama PAS dengan parti-parti lain (PKR dan DAP). Sebab saya sendiri
yakin bahawa ada orang PAS sendiri yang tidak suka dengan kerjaama PAS,
khasnya DAP.
"Sebab dalam pakatan itu nampak falsafah perjuangan PAS, nampak
idealogi PAS diketepikan atau tidak lagi ditonjolkan bukan kerana PAS
tidak berpegang kepada ideologi berkenan tetapi kerana PAS berasa perlu
untuk tidak menonjolkannya demi kerjasama dengan DAP dan PKR.Dan ini
saya rasa merugikan PAS.
"PAS dilihat sebagai tidak begitu mempertahankan lagi atau
memperjuangkan perjuangkan fundimentalnya iaitu negara Islam,
Hudud...jadi orang melihat sebagai tidak serius atau PAS mempersendakan
pula kerana semata-mata hendak bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk
menang pilihanraya," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama
Antarapos.
Malah, menurut Kadir jika PAS tetap mahu meneruskan kerjasama dengan
DAP dan PKR maka parti Islam itu perlu menanggung akibatnya di kemudian
hari.
Justeru, PAS harus memikirkan semula apa yang dikehendaki parti itu
dalam menjalinkan kerjasama dengan perikatan pembangkang itu.
"PAS harus memikirkan semula apa yang dikehendakinya adakah dia hendak
kembali kepada perjuangan asalnya atau mengubah parti itu kerana hendak
bekerjasama dengan DAP dan PKR.
"Kalau PAS masih bertegas mengatakan hidup atau mati mereka akan
bekerjasama dengan DAP dan PKR saya rasa PAS akan membayar harga yang
tinggi," ujarnya.
PAS perlu pilih antara Islam atau kuasa politik
Katanya lagi sekiranya PAS mengambil ketetapan untuk keluar daripada
pakatan pembangkang itu sudah tentu ia akan menjadi parti Islam yang
lebih kuat dari segi akidah dan perjuangan.
"Kalau PAS keluar dari Pakatan Rakyat, PAS akan menjadi parti Islam
yang lebih kuat...kuat bukan dari segi bilangan kerusi tetapi kuat dari
segi akidah dan pegangan. Dia akan kuat dari segi pegangan bahawa ini
PAS dan ini perjuangan Islam PAS.
"Tapi tidak semestinya akan menjadikan PAS lebih kuat dalam erti kata
orang Islam, orang Melayu semua akan menyokong PAS. Tapi kemungkinan
lebih ramai orang akan menyokong PAS kalau PAS berpegang kepada
prinsip-prinsip ini...kemungkinannya ada, terutamanya dikalangan
generasi muda," katanya lagi.
Bagaimanapun beliau yang juga merupakan Tokoh Wartawan Negara ini
berkata PAS perlu meyakinkan majoriti bahawa perjuangan parti itu dalam
menegakkan Islam adalah perjuangan universal.
"Cuma PAS harus menyakinkan majoriti bukan sekadar menyakinkan golongan
ulama yang faham tentang Islam tetapi meyakinkan umum dalam bahasa yang
mudah bahawa perjuangan PAS dalam menegakkan Islam adalah perjuangan
universal, perjuangan sejagat yang boleh membawa kebaikkan atau boleh
membawa lebih banyak kebaikkan dan kebajikan daripada sedia ada,"
tambahnya.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib menegaskan parti
itu perlu menilai penggunaan konsep Tahaluf Siyasi untuk bekerjasama
dengan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat, selepas sokongan pengundi
Melayu untuk PAS merosot pada Pilihan Raya (PRU) ke-13 Mei lalu.
Harun juga akur PAS bukan lagi parti dominan di dalam Pakatan Rakyat
dan menggesa ahli parti menerima hakikat bahawa "kedudukan PAS di dalam
Pakatan Rakyat adalah sangat lemah berbanding sebelum ini".
Malah, beliau menegaskan kemerosotan sokongan Melayu untuk PAS pada
PRU-13 memperlihatkan peluang "mustahil" bagi PAS untuk terus berkembang
dan melaksanakan matlamat mendirikan sebuah negara berlandaskan Islam
tanpa penilaian semula kerjasama dengan PKR dan DAP mengikut konsep
Tahaluf Siyasi .
Walaupun menjadi parti pembangkang terbesar di negara ini, PAS hanya
mampu memenangi 21 kerusi Parlimen pada PRU 13, berbanding 30 yang
diraih oleh PKR dan 38 oleh DAP.
Persetujuan PAS untuk tidak lantang memperjuangkan matlamat penubuhan
negara Islam berlandaskan undang-undang hudud menguntungkan PKR dan DAP
yang berjaya menarik sokongan lebih luas daripada pengundi.
Hasrat PAS untuk menggantikan Umno sebagai parti utama kaum Melayu
bagaimanapun kecundang apabila Barisan Nasional menawan semula Kedah dan
Umno memperbaiki pencapaiannya dengan memenangi 88 kerusi parlimen.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mempertahankan
hubungan parti itu dengan DAP dan PKR parti lain mengikut konsepa
Tahaluf Siyasi yang di gunakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk berurusan
dengan bukan Muslim.
Bagaimanapun kerjasama itu dikritik oleh beberapa pihak kerana PAS
dilihat berkompromi dengan DAP dan PKR mengenai hal-hal asas membabitkan
kepentingan Islam seperti penubuhan negara Islam dan penggunaan kalimah
Allah oleh bukan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan