Halaman

Isnin, 4 November 2013

Saingan Kedua-dua Calon PRK DUN Sg Limau Sukar Diramal

RAKYAT NEWS

 alt


YAN- Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau esok boleh memihak sama ada kepada PAS atau Barisan Nasional (BN) berikutan pertandingan yang sengit antara kedua-dua parti itu.

Sekiranya PAS mengekalkan kerusi berkenaan majoritinya dijangka merosot, namun pemerhati politik tidak berani menolak kemungkinan BN menang dengan majoriti yang tipis.

Selepas 12 hari berkempen sejak penamaan calon pada 23 Oktober lalu, kedua-dua belah pihak terus bekerja keras sehingga kini untuk meraih undi daripada 27,222 pengudi berdaftar.

Di atas kertas, PAS dikatakan mempunyai kelebihan kerana selain daripada DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat parti itu, ia juga mempunyai 9,499 ahli, sementara BN pula mempunyai 9,230 anggota dan selebihnya 8,493 adalah pengundi atas pagar.

Walaupun DUN Sungai Limau adalah kubu kuat PAS sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, ramai pemimpin parti itu seperti Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu serta kedua-dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta rakan sekutu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen untuk membantu calon mereka, Mohd Azam Abd Samat.

Bekas artis yang menyertai PAS sperti Aisyah, Bob Lokman, Abby Abadi juga turut digembleng untuk mempertahankan kubu PAS.

Walaupun BN adalah "under dog", kubu PAS itu digempur hebat oleh jentera kempen parti komponen itu yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri dengan menurunkan tokoh-tokoh politik pusat untuk menyokong calonnya, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.
Sungai Limau, terletak di tengah-tengah kawasan jelapang padi, juga menempatkan lebih daripada tiga pondok pengajian Islam yang kebanyakannya condong kepada PAS.

Namun, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dikatakan memenangi kerusi itu atas kapasiti ketokohannya, sebagai seorang pemimpin yang dihormati oleh kawan dan disegani lawan, dan bukan semata-mata kerana bertanding atas tiket PAS.

Oleh demikian calon PAS tidak boleh mengharapkan kemenangan mudah, lebih-lebih lagi pentadbiran Kedah bukan lagi di bawah PAS, dan kini diterajui Datuk Mukhriz Mahathir yang mempunyai ketokohan yang sama seperti Azizan.

Ia kerana Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai pemimpin muda yang mampu membawa pembangunan kepada kawasan DUN Sungai Limau, terutama peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang sangat kurang di kawasan ini yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada petani dan nelayan.

Kebanyakan anak muda berhijrah untuk mencari nafkah dan kehidupan yang lebih baik terutama di kalangan masyarakat Cina yang mewakili 6.7 peratus daripada pengundi di kawasan ini.

Mungkin tidak mustahil mereka yang mengundi pembangkang pada PRU ke-13 pada Mei lepas akan menyokong BN bagi menyebelahi pihak yang menang pada PRU lalu.

Sementara penyokong Azizan juga dijangka beralih kepada BN berikutan tindakan segelintir pemimpin PAS yang cuba mengguling Azizan ketika menjadi Menteri Besar Kedah.

UMNO juga turut bergantung kepada 3,000 pengundi luar terutama, 1,752 ahlinya esok.

Menurut sumber jentera Wanita UMNO, BN mampu menawan kembali kerusi DUN Sungai Limau berdasarkan maklum balas positif daripada pengundi wanita yang terdiri daripada 52 peratus pengundi di kawasan itu.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik menyifatkan pertandingan ini sengit dan sukar untuk meramalkan parti mana yang akan menang.

Menurut sumber Bernama, jentera kempen berjaya menawan sekurang-kurangnya 10 Pusat Daerah Mengundi daripada enam yang dimemangi pada PRU Mei lalu, daripada sejumlah 19 PDM di kawasan itu.

Sementara dari segi bilangan undi pula, BN yakin dapat menarik lebih ramai pengundi muda kerana faktor Mukhriz, serta pengundi lain yang dahulunya "merajuk" akan kembali menyokong BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.