KUANTAN- Biarpun struktur binaannya hanya sambungan empat buah kanopi
berdindingkan kanvas, Surau Al-Ijtihad, Taman Gambang Damai yang
terletak di sebuah kawasan lapang kira-kira 10 meter dari Jalan
Gambang- Maran dekat sini cukup bermakna kepada penduduk dalam usaha
mereka menegakkan syariat Islam.
Surau yang dibina atas sumbangan ahli kariah dengan serba kekurangan
itu bukan sahaja menjadi tempat penduduk bersolat waktu berjemaah, malah
di situ juga pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan
dilangsungkan.
Dapat gelaran Surau Padang Pasir
Pengerusi surau, Zulli Muhamad, 47 berkata, surau yang selayaknya
digelar ‘Surau Padang Pasir’ itu didirikan sejak awal September lalu
itu selepas pemilik rumah yang disewa untuk tujuan itu meminta premis
tersebut dikosongkan, Ogos lalu.
Menurutnya, penduduk tiada pilihan lain selain mencari alternatif
membina surau sementara bagi kemudahan masyarakat di situ menunaikan
solat waktu berjemaah dan mengadakan aktiviti keagamaan.
“Kami mengambil keputusan membina surau ini di sini (kawasan lapang
yang dicadangkan untuk tapak masjid) sementara mendapat tapak sesuai
untuk mendirikan surau kekal (dalam proses permohonan).
“Kami di sini amat memerlukan surau kekal yang selesa untuk menjalankan
segala aktiviti agama memandangkan kanopi yang didirikan ini boleh
dikira sudah ‘tamat tempoh’ dan atap kanvasnya boleh runtuh bila-bila
masa,” katanya ketika ditemui di surau itu, semalam.
Tiada tandas, tempat wuduk
Zulli berkata, surau yang mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah bukan
sahaja dikunjungi penduduk malah sebahagian besar pekerja resort, buruh
binaan dan pengguna jalan Kuantan- Maran singgah di situ untuk
menunaikan solat.
“Surau ini cukup daif tanpa kemudahan tandas dan tempat wuduk manakala
ruang sembahyang hanya lapisan papan ditutupi karpet usang kira-kira
satu kaki dari tanah.
“Ada ketikanya, kanvas terpaksa di bentangkan di atas tanah bagi
menampung kehadiran jemaah yang agak ramai terutama apabila ada majlis
atau ceramah agama di sini,” katanya.
Beliau berkata, kebelakangan ini pelbagai masalah timbul termasuk air
mula menitik masuk dari lubang kanvas yang berlubang, kanvas (dinding)
tercabut dan pernah beberapa kali tiang kanopi terangkat akibat ditiup
angin kencang,” katanya.
“Bila hujan lebat, kawasan dalam surau dimasuki air menyebabkan
beberapa bahagian ruang sembahyang (berkarpet) sentiasa lembap dan
berbau,” katanya.
Penduduk tiada pilihan
Menurutnya, penduduk dan jemaah tetap surau itu tiada pilihan lain
kerana kemudahan surau yang selesa tiada di kawasan tersebut kecuali
Masjid Jamek Gambang yang jaraknya 10 kilometer dan Masjid Matrikulasi,
lima kilometer namun tidak dibuka sepanjang masa untuk kegunaan
penduduk.
“Bekalan air dan elektrik disambung dari rumah penduduk untuk kegunaan
surau ini supaya jemaah dapat berwuduk dan menunaikan solat dengan lebih
selesa.
“Kami sendiri tidak pasti sampai bila surau ini mampu bertahan
memandangkan musim hujan mula melanda dan kawasan ini pula menjadi
laluan angin,” katanya.
Sudah ada permohonan, perbincangan
Beliau berkata, masalah itu sudah diajukan kepada Pejabat Agama Islam
Daerah (Paid) Pekan dan beberapa perbincangan dijalankan dengan kadi
daerah serta pemimpin setempat.
“Permohonan untuk mendapatkan surau kekal juga sudah dibuat dan kami percaya usaha itu kini dalam pertimbangan pihak berkenaan.
“Isunya sekarang, kami harapkan jawapan positif secepat mungkin sebelum surau yang ada ini rebah menyembah bumi,” katanya.
Lambang sepakat, semangat sukarela penduduk
Sementara itu, Iman surau, Mohd Saberi Jusoh, 34 berkata, biarpun
surau Al- Ijtihad ibarat sebuah bangsal di tengah kawasan lapang, namun
fungsinya sama dengan surau-surau lain yang sentiasa dipenuhi pelbagai
aktiviti bagi mengimarahkannya.
“Selain solat berjemaah, kita sentiasa mengadakan aktiviti termasuk kelas Al-Quran, ceramah agama dan sebagainya.
“Malah di sini jugalah kami menunaikan solat sunat Aidiladha baru-baru
ini dan hari ini (semalam) kami bergotong royong memasak bubur asyura
sempena Sambutan Maal Hijrah,” katanya.
Menurutnya, surau itu cukup penting sebagai simbol perpaduan dan ikatan
silaturahim penduduk kerana di situlah mereka berkumpul dan mengenali
jiran-jiran dengan lebih dekat.
“Surau ini juga bukti kesepakatan dan keikhlasan penduduk menegakkan syiar Islam atas semangat sukarela.
“Tugas kami di sini sama ada sebagai imam, bilal, siak, dan sebagainya
adalah sukarela malah kos pengurusan surau, aktiviti agama juga hasil
sumbangan ikhlas bersama di samping sumbangan beberapa pihak lain yang
bermurah hati tanpa peruntukkan daripada mana-mana agensi kerajaan,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.