HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 November 2013

Tanda Putera tayangan ‘istimewa’ kepada penduduk Sungai Limau, kata pemuda Gerakan

Oleh Md Izwan

Pengarah filem Tanda Putera, Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Gambar fail. Pengarah filem Tanda Putera, Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Gambar fail. 























Pemuda Gerakan mempertahankan tayangan filem kontroversi Tanda Putera kepada penduduk Sungai Limau dan menyifatkannya sebagai suatu yang "istimewa" apabila dipertontonkan secara percuma.

Ketua Pemuda Nasionalnya, Tan Keng Liang, yang baru dilantik, berkata pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Multimedia dan Komunikasi yang memilih untuk menayangkannya secara percuma kepada penduduk Sungai Limau.

"Saya rasa ia satu keistimewaan kepada penduduk kerana dapat tonton Tanda Putera secara percuma.


 "Terima kasih kepada kementerian kerana bukan senang hendak dapat tayangan filem percuma, kalau kita ke pawagam pun kena bayar RM10," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.


Semalam, The Malaysian Insider mendedahkan filem kontroversi yang gagal mencapai status pecah panggung tersebut akan ditayangkan secara percuma kepada penduduk Sungai Limau esok dalam usaha Barisan Nasional (BN) merampas kubu kuat PAS itu.

Filem tersebut dijangka ditayang pada jam 8.45 malam di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Daun Tengah, yang jaraknya kira-kira 4.7km dari Sungai Limau.

Program tersebut adalah sebahagian daripada jadual yang dimasukkan sempena lawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam lawatan tiga harinya ke Sungai Limau.

"Bagi Gerakan, ia bukannya satu isu kerana filem tersebut adalah mengenai peristiwa sejarah yang berlaku dalam negara kita.

"Jika pembangkang mahu menuduh filem tersebut adalah perkauman, itu adalah hak mereka," katanya.

Beliau juga menggesa supaya bersikap terbuka, serta tidak menafikan Gerakan juga ada kaitan dalam peristiwa bersejarah negara tersebut.

Naib Presiden PKR, Tian Chua bagaimanapun, membidas taktik berkempen oleh jenteran BN tersebut yang tidak ikhlas dan menunjukkan sikap bermuka-muka mereka terutama dalam usaha mendapatkan sokongan masyarakat Cina setempat.

"BN menggesa MCA untuk datang dan mendapatkan sokongan pengundi Cina, memberikan wang kepada sekolah, tapi pada masa sama mereka memprovokasi masyarakat Melayu.

"Taktik bermuka-muka ini sudah ketinggalan, oleh sebab itu saya menggesa rakan MCA saya supaya tidak memberikan sokongan membuta tuli kepada Umno dan BN," katanya.

Ahli Parlimen Batu yang turut ke Sungai Limau untuk membantu jentera Pakatan Rakyat (PR) berkata, kempen sedemikian tidak wajar dilakukan kerana ia hanya akan memecahbelahkan lagi masyarakat yang hidup harmoni ketika ini.

"Taktik begitu tidak baik untuk negara, bukan hanya untuk tempoh masa pendek tapi juga untuk mendapatkan sokongan politik.

"Saya harap pilihan raya kali ini, pengundi dapat menggunakan peluang ini untuk mengetahui bahawa Umno tidak ikhlas," katanya.

Tanda Putera adalah filem biografi sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkisar mengenai perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya pada masa itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman bersama-sama menyelesaikan rusuhan kaum pada 1969.

Filem kontroversi yang menelan belanja RM4.8 juta hasil daripada geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional dan Perbadanan Pembangunan Multimedia itu gagal mencapai status pecah panggung, malah dipindahkan ke panggung lebih kecil.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang kecewa dengan filem tersebut kerana memaparkan sekumpulan belia Cina kencing di tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris yang membayangkan dia adalah orangnya.

Tiada ulasan: