Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia menyelar sikap sesetengah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang enggan meletakkan iklan mereka di akhbar berbahasa Melayu sebaliknya lebih memikirkan pertimbangan komersil semata-mata.
Utusan, dalam ruangan Awang Selamat berkata pertimbangan komersil sebenarnya berisiko apabila mudah terdedah dengan aktiviti manipulasi.
"Persoalannya bagaimana kita mahu menyandarkan masa depan kedaulatan bahasa kebangsaan kepada ekspatriat dan golongan tersebut?" soal Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik.
Memetik AmResearch, Awang Selamat berkata perbelanjaan pengiklanan (adex) untuk akhbar berbahasa Melayu merosot 1.8% sehingga September lalu walaupun adex industri berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 3.7%.
Berdasarkan RHB Research pula, Awang Selamat berjata setakat September sahaja, adex akhbar berbahasa Melayu jatuh 26% kepada RM116 juta berbanding RM154 juta tempoh sama tahun lalu.
"Ini berbeza dengan akhbar Cina dan Inggeris yang masing-masing meningkat 8.9% dan 7.2%," kata Awang Selamat.
"Ramai peneraju GLC itu seperti sudah hilang jati diri dan lupa hakikat kewujudan GLC itu sendiri.
Mereka menyerahkan penentu iklan misalnya kepada pihak industri terutama agensi yang banyak dikawal ekspatriat, golongan rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan," katanya.
Malah, memetik Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Awang Selamat turut berkata beberapa bank ternama dan syarikat telekomunikasi kurang mengiklan di akhbar berbahasa Melayu.
"Awang pun sudah hilang rasa setia menjadi pelanggan Celcom. Pilihan terbentang luas. Untuk apa lagi menyokong GLC yang lesu agenda mendaulatkan bahasa dan pemerkasaan ekonomi Bumiputera," katanya.
"Mesejnya, GLC telah memperkatakan pihak yang salah kerana membenarkan diri terperangkap dalam putaran ganas yang dicaturkan oleh industri iklan.
"Ternyata kita tidak mengambil pengajaran."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan