SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan supaya tidak meletakkan usaha penjimatan kepada 11 langkah sahaja, sebaliknya ia perlu diperluaskan lagi bagi mengurangkan perbelanjaan negara.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, langkah itu tidak bersifat menyeluruh kerana melibatkan beberapa pihak sahaja.
“Walaupun tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu sebagai langkah awal untuk penjimatan, tapi ia mesti juga diperluaskan dengan perkara selain daripada yang diumumkan.
“Jangan hanya terhenti sahaja di situ, sebaliknya perlu mencari kaedah lain bagi mengurangkan perbelanjaan negara,” katanya.
Menurutnya, walaupun pemotongan itu nampak positif daripada kerajaan, bagaimanapun kos bebanan sara hidup rakyat masih belum dapat dikurangkan.
“Apa yang diumumkan Perdana Menteri itu masih lagi membuatkan rakyat terasa terbeban kerana harga barangan semakin naik. Jadi saya tidak tahu apa rasionalnya pengumuman itu.
“Pengurangan yang turut melibatkan penjawat awam bagi pegawai kanan pula tidak seramai penjawat awam yang berpangkat biasa. Jadi mungkin tidak banyak yang dapat dijimatkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata, selain mengumumkan pemotongan elaun menteri, kerajaan perlu berusaha mengurangkan bebanan hidup rakyat.
“Apabila kenaikan taraf hidup mendadak, jadi rakyat akan kurangkan perbelanjaan, sekaligus tiada pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan