SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Pejabat Bible Society of Malaysia di Damansara Kim Khamis lalu kerana mengikut undang-undang sedia ada, terutama enakmen yang dikuatkuasakan.
Presidennya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, tindakan dilakukan Jais itu untuk menguatkuasakan enakmen agama dan fatwa di Selangor termasuk Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Beliau berkata, Jais juga berhak untuk bertindak tanpa memberi notis terlebih dahulu kepada sesiapa, terutama yang membabitkan serbuan rahsia.
“Kalau kita kata Jais tiada hak, saya merasakan peruntukan enakmen sedemikian badan mana lagi nak diserahkan untuk bertindak sedemikian.
"Secara logiknya, praktikal dan undang-undang memang itu tugas Jais. Jais lakukan ikut peraturan baris demi baris ayat demi ayat terutama enakmen itu,” katanya. Ketika ditanya mengenai hujah-hujah bahawa Jais tidak mempunyai bidangkuasa ke atas orang bukan Islam, Hasan menolaknya sebagai ‘tafsiran mereka’ tentang undang-undang.
Hassan berkata, cadangan pihak tertentu supaya enakmen tersebut dipinda dianggap bakal memberi kesan buruk kepada keselamatan negara.
Menurutnya, sekiranya enakmen tersebut dipinda maka ketika itu rakyat dapat menilai sendiri tindakan pihak-pihak tersebut.
“Sebagai Adun memang boleh bawa perkara tersebut ke dewan untuk pinda enakmen. Memang boleh. Tapi sebenarnya sebelum bawa ke dewan perkara ini perlu dibawa ke exco sebelum dibawa ke Tuanku Sultan Selangor.
“Dalam exco ni ada tiga parti. Dari situ nanti rakyat boleh buat penilaian. Apa Pas kata, apa PKR kata dan apa DAP kata bila dibincang di peringkat exco,” katanya.
Hasan mengulas kenyataan bersama Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San yang menggesa supaya subseksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, dikaji semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.