KUALA LUMPUR - Kelab Jingga 13 Malaysia hari ini menggesa agar Tan
Sri Harussani Zakaria meletakkan jawatannya sebagai Mufti negeri Perak
berdasarkan kenyataan beliau yang memanipulasi agama untuk kepentingan
tertentu.
Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, sewajarnya beliau
meletakkan jawatan kerana kenyataan tersebut tidak masuk akal sebagai
seorang mufti dan memalukan.
"Jika beliau seorang yang waras sewajarnya meletakkan jawatan sebagai
Mufti kerana dilihat bukan sahaja sebagai 'boneka dan telunjuk' kerajaan
UMNO, Barisan Nasional (BN) tetapi memalukan institusi mufti yang
seharusnya dihormati dan disegani oleh rakyat.
"Mufti Perak ini seharusnya sedar, perhimpunan tersebut adalah tanda
protes rakyat terhadap tindakan UMNO, BN yang menaikkan segala
perkhidmatan dan keperluan serta kenaikan kos sara hidup yang bakal
ditanggung oleh rakyat menjelang tahun 2014," katanya kepada pemberita
sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di sini
hari ini.
Jingga 13 membuat laporan polis terhadap Harussani atas tindakan beliau
yang menghasut dan mendorong melakukan keganasan, kecederaan dan
pembunuhan terhadap mereka yang hadir ke perhimpunan Turun pada 31
Disember 2013.
Terdahulu, Mufti Perak berkenaan telah mengeluarkan kenyataan di salah
satu media tempatan dengan melabel para demostran yang berhimpun pada
malam tahun baru sebagai "penderhaka kepada kerajaan" dan dihalalkan
darah golongan bughah (pemberontak).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.