MALAYSIAKINI
Sebanyak 200 biji bateri lithium ion, dibawa oleh pesawat Malaysia
Airlines (MAS) MH370 yang hilang, adalah mematuhi peraturan barangan
bahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ini dinyatakan dalam senarai kargo yang disertakan bersama-sama laporan
awal MH370 yang dikeluarkan hari ini oleh Kementerian Pengangkutan.
Menurut ruangan maklumat pengendalian Air Waybill, nota konsainan udara,
menyatakan: "Perisytiharan penghantaran bagi DGD (barangan bahaya)
tidak diperlukan. Bateri lithium ion adalah mematuhi seksyen II
P.I.965."
Seksyen II peraturan itu terpakai kepada sel lithium ion dengan rating
jam-Watt tidak melebihi 20 Wh dan bateri lithium ion dengan rating
jam-Watt tidak melebihi 100 Wh, dibungkus dalam kuantiti tidak melebihi
had dibenarkan mengikut Seksyen II, Jadual 965-II.
Arahan berkenaan digariskan dalam peraturan barangan bahaya IATA.
Penerbangan MH370 juga dilaporkan membawa 4,566 kilogram manggis segar,
yang dihantar oleh Poh Seng Kian dari Muar, Johor untuk Beijing
Guangchangming Trading Co.
Baki kargo terdiri bungkusan dan barangan kurier seberat 2,934 kilogram.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas
pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah
malam dan hilang dari imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa
berada di ruang udara Lautr China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan