MALAYSIAKINI
Berikut laporan awal oleh Pejabat Ketua Inspektor Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan yang dikeluarkan hari ini.
LAPORAN AWAL MH370 (SIRI 03/2014)
Jenis Pesawat & Pendaftaran: Boeing 777-2H6ER, 9M-MRO
Tahun Pengeluaran: 29 Mei 2002
Negara Pendaftaran: Malaysia
No & Jenis Engin: 2 Rolls Royce RB211 Trent 892B17
Lokasi: Tidak Diketahui (Kali terakhir 'return' oleh Radar Pemantauan Sekunder (SSR), Waypoint IGARI)
Tarikh & Masa (Masa Tempatan) 8 Mac 2014 & Tidak Diketahui (kali terakhir 'return' SSR pada jam 01:21:13)
Operator: Malaysian Airlines (MAS)
Nama Penerbangan: MH 370
Jenis Penerbangan: Berjadual (Pengangkutan Udara Komersial), IFR
Orang Dalam Pesawat: 227 penumpang + 12 anak kapal
Penyiasatan
Pada jam 01:38 Waktu Malaysia* (MYT) pada 8 Mac 2014 (Sabtu), Boeing
777-2H6ER, pendaftaran 9M-MRO, dan nama penerbangan MH370 membawa 227
penumpang dan 12 anak
kapal, dilaporkan hilang selepas melalui waypoint IGARI** semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dimaklumkan bahawa penerbangan MH370 telah hilang dan penyiasatan dilancarkan.
Menurut Lampiran 13 Kemalangan Pesawat dan Penyiasatan Kemalangan
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Bahagian XII
Penyiasatan Kemalangan, Peraturan
Penerbangan Awam Malaysia 1996 dan bersama-sama Lembaga Keselamatan
Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) USA, yang mewakili Negara Reka Bentuk dan
Pengeluar pesawat itu,
telah melantik Wakil Bertauliah untuk mengambil bahagian sepenuhnya
dalam penyiasatan. Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) United
Kingdom, mewakili Negara Reka Bentuk dan Pengeluar bagi enjin, juga
telah melantik Wakil Bertauliah.
Wakil Bertauliah NTSB dibantu oleh satu pasukan penasihat teknikal
daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dan Boeing.
Wakil Bertauliah AAIB dibantu penasihat teknikal daripada Rolls-Royce
dan Inmarsat iaitu operator Satelite yang telah berkomunikasi dengan
pesawat itu semasa dalam penerbangan.
* Waktu Malaysia (MYT) adalah Masa Koordinasi Universal (UTC)+ 8 jam
** Waypoint Igari terletak di Latitud N6 darjah 56.87 minit dan Longitud E103 darjah 34.63 minit.
Kerajaan Australia dan Kerajaan China juga telah melantik Wakil Bertauliah selaras dengan Lampiran 13 ICAO, Perenggan 5.23.
Malaysian Airlines (MAS), selaku operator, memberikan kerjasama dalam
penyiasatan, dan menyediakan kepakaran seperti diperlukan dan DCA
Malaysia sentiasa dimaklumkan perkembangannya.
Sejarah penerbangan
Pada MYT 00:41:43 8 Mac 2014 (Sabtu), MH370 berlepas dari Landasan 32R
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam jadual
penerbangan ke Beijing, China.
Pada MYT 00:42:07, MH370 diberi kebenaran untuk naik ke Paras
Penerbangan (FL) 180* dan diberi kebenaran meneruskan penerbangan oleh
LUMPUR APPROACH di Pusat
Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) ke waypoint IGARI. MH 370
dipindahkan kepada LUMPUR RADAR di KLATCC pada MYT 00:42:52.
Penerbangan itu kemudian diberikan kebenaran untuk naik ke paras FL 250
pada MYT 00:46:51 MYT dan kemudiannya ke paras FL 350 pada MYT 00:50:06.
MH370 dilaporkan kekal pada paras FL 350 pada MYT 01:01:16 MYT dan
sekali lagi dilaporkan kekal pada paras FL 350 pada MYT 01:07:55.
* Pada ketinggian di atas 11,000 kaki di Malaysia, paras ketinggian
pesawat di atas paras laut dirujuk sebagai Paras Penerbangan(FL). 180 FL
bersamaan dengan 18,000 kaki.
Pada MYT 01:19:24, LUMPUR RADAR di KLATCC mengarahkan MH370 supaya
menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara HO CHI MINH (HCMATCC) pada
frekuensi radio 120.9 MHz. MH370 memaklumkan dengan "selamat malam
Malaysia Tiga Tujuh Kosong".
Pada MYT 01:21:04, MH370 dikesan pada skrin radar di KLATCC semasa ia
melalui waypoint IGARI. Pada MYT 01:21:13, label radar bagi MH370 hilang
daripada skrin radar di LUMPUR RADAR KLATCC.
Pada MYT 01:38, HCMATCC bertanya kepada KLATCC mengenai kedudukan MH370.
Selepas itu KLATCC memulakan usaha dengan melibatkan Pusat OPS MAS, ACC
Singapura,
ACC Hong Kong dan ACC Phnom Penh untuk menentukan lokasi MH370. Tiada
perhubungan dibuat dengan mana-mana unit ATC dan dengan itu Pusat
Penyelarasan Menyelamat (RCC) diaktifkan pada MYT 05:30.
Kemudiannya disahkan bahawa transmisi daripada Sistem Komunikasi dan
Pelaporan Pesawat (ACARS) menerusi sistem komunikasi satelite telah
berlaku mengikut selang waktu secara
konsisten sebelum MH370 berlepas dari Kuala Lumpur, Malaysia pada MYT
12:56:08 dan komunikasi terakhir direkodkan pada MYT 01:07:49.
Mencari dan Menyelamat (SAR)
Pusat Penyelarasan Menyelamat Kuala Lumpur (KL RCC) diaktifkan pada
05:30 LT selepas semua usaha untuk menghubungi dan mengesan lokasi
pesawat gagal. Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan di Laut
China Selatan, tempat kedudukan terakhir pesawat itu diketahui.
Penelitian semula rakaman daripada radar primer tentera mendedahkan
bahawa sebuah pesawat yang mungkin MH 370 telah berpatah balik menghala
arah barat Semenanjung Malaysia.
Kawasan pencarian kemudian diperluaskan ke Selat Melaka.
Selepas ACARS berhenti menyalurkan mesej daripada sistem komunikasi
satelit automatik yang sebelumnya menyalurkan tujuh mesej yang telah
mengesahkan bahawa sistem itu masih
aktif dalam rangkaian.
Mesej terakhir diterima oleh stesen bumi satelit pada MYT 08:19. Dengan
data radar primer, analisis data satelit dan data prestasi pesawat,
Penyiasatan mengesahkan penerbangan
MH370 telah terbang di sepanjang sama ada di Koridor Utara atau Koridor Selatan.
Tranmisi terakhir berlaku apabila pesawat itu berada di titik 40 darjah
dari satelit. Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, kawasan pencarian
dialihkan dari Laut China Selatan dan Selat
Melaka ke Koridor Utara dan Koridor Selatan.
Pada 24 Mac 2014, analisis selanjutnya terhadap data satelit Inmarsat,
menggunakan perubahan dalam isyarat frekuensi komunikasi satelit
(isyarat menggunakan Doppler Effect),
menunjukkan bahawa MH370 telah terbang di Koridor Selatan dan penerbangannya berakhir di kawasan selatan Lautan Hindi.
Penyiasatan diteruskan dengan menganalisis data satelit dan prestasi
pesawat untuk memperhalusi dan mengenal pasti kawasan tempat pesawat itu
berakhir.
Sehingga kini, sebanyak 26 negara turut serta dalam usaha mencari MH370
membabitkan 82 pesawat dan 84 kapal. Operasi SAR masih diteruskan.
Cadangan keselamatan
Walaupun pesawat dilengkapi peralatan komunikasi yang perlu untuk
memberikan maklumat tentang lokasinya, mesej terakhir ACARS direkodkan
pada MYT 1:07:29 MYT, pengesanan terakhir radar sekunder pada MYT
1:21:13 dan komunikasi satelit terakhir pada MYT 08:19 pada 8 Mac.
Setelah lebih sebulan selepas pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur, lokasinya masih tidak diketahui.
Meskipun pesawat pengangkutan udara komersial menghabiskan banyak masa
beroperasi di kawasan terpencil, pada masa ini tidak disyaratkan bagi
pengesanan pesawat berkenaan mengikut masa nyata.
Terdapat dua kejadian dalam tempoh lima tahun lepas apabila pesawat
pengangkutan udara komersial bersaiz besar telah hilang dan kedudukan
terakhirnya tidak diketahui secara tepat.
Ketidakpastian itu telah menimbulkan kesukaran untuk mengesan pesawat itu secara tepat pada masanya.
Oleh itu, Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia telah mencadangkan langkah keselamatan berikut kepada ICAO:
Ia mencadangkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa meneliti
faedah-faedah keselamatan dengan memperkenalkan pengesanan pesawat
pengangkutan udara komersial mengikut masa nyata yang standard.
Nota
Maklumat terkandung dalam laporan awal ini adalah betul pada masa ia
dikeluarkan dan bertujuan untuk memaklumkan kepada industri penerbangan
dan orang awam tentang rentetan peristiwa itu secara amnya. Pembaca
diingatkan bahawa terdapat kemungkinan maklumat baharu akan diperolehi
yang akan mengubah maklumat dalam Laporan Awal ini.
Laporan ini ditulis mengikut Manual Penyiasatan Kemalangan Pesawat dan Kemalangan Doc 9756 AN/965 ICAO – Pelaporan Bahagian IV.
Ketua Inspektor Kemalangan Udara
Kementerian Pengangkutan Malaysia
9 April 2014
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.