MALAYSIAKINI
Penjawat awam yang didapati terlibat dalam perhimpunan membantah Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan tindakan tegas termasuk
dibuang kerja, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
"Kalau kita dapat bukti kukuh mengenai penglibatan mereka, tindakan akan
diambil seperti yang dinyatakan dalam pekeliling dan tatatertib
perkhidmatan awam (yang) bermula dengan amaran hingga buang kerja",
katanya.
Menurutnya penjawat awam seharusnya menyokong aspirasi dan dasar kerajaan, bukan sebaliknya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013
Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada 864 penerima di ibunegara hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.
Ali diminta mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam
Tahun 2014 semalam, yang menganggap penjawat awam terlibat dalam
perhimpunan itu dianggap pengkhianat dan tidak layak bergelar penjawat
awam.
Beliau berkata sehingga kini, pihaknya tidak menerima laporan
membabitkan penjawat awam dalam perhimpunan itu yang diadakan di Dataran
Merdeka di sini semalam.
Terdahulu, dalam ucapannya Ali mengingatkan penjawat awam supaya
sentiasa mendokong dan melaksanakan Dasar Transformasi Negara ke arah
menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Transformasi yang dilakukan berupaya meningkatkan daya saing negara di samping menjana kadar pertumbuhan ekonomi positif.
"Ini secara tidak langsung memungkinkan kerajaan untuk mempertimbang
insentif dan kemudahan lain bagi kebajikan penjawat awam secara
khususnya",
katanya.
Beliau berkata penjawat awam adalah ejen penyampai yang terbaik untuk menterjemah setiap visi kerajaan.
Tahap kemajuan sesebuah negara bukan sahaja dinilai dari aspek kekukuhan
ekonomi malah merangkumi ketelusan dan integriti yang dimiliki
institusi negara itu termasuk sektor awam, katanya.
Justeru itu, Ali berharap semua penjawat awam mengamalkan konsep 'kerja
sebagai ibadah' bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap pekerjaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan