KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) digesa segera mengkaji semula
arahan penutupan landasan kereta api sektor timur dari Gemas, Negeri
Sembilan ke Gua Musang, Kelantan, yang berkuatkuasa 27 Jun ini kerana ia
menjejaskan pergerakan (mobility) ratusan ribu rakyat khususnya ketika
menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Penutupan landasan sektor timur itu juga akan memberi kesan kepada ratusan pekerja KTMB yang berkhidmat di Pantai Timur Semenanjung ekoran pemotongan elaun daripada gaji asal yang sememangnya sudah rendah.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi perhatian yang amat serius tentang perkara ini kerana ia akan memberi kesan besar kepada rakyat.
“Menurut laporan media dan berdasarkan dokumen yang telah kami perolehi daripada sumber dalaman, SPAD dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 106 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 telah mengarahkan syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menutup landasan sektor timur dari Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan, berkuatkuasa 27 Jun ini.
Tempoh penutupan tidak diketahui dan bergantung kepada kerja penyelenggaraan landasan.
“Ini bermakna kemudahan perkhidmatan kereta api di 14 stesen dan 11 hentian (halt) akan dihentikan. Dengan itu, perkhidmatan empat tren ekspres dan enam tren shuttle untuk penumpang dan banyak tren kargo akan terjejas, walaupun jika bukan semua perhidmatan tersebut digantung sepenuhnya,” kenyataan media itu dipetik.
Kamaruddin dan Chin Tong menambah, menjelang Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan Julai ini, jutaan rakyat Malaysia, termasuk anak Pahang, Terengganu dan Kelantan akan pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan.
Oleh itu, penutupan landasan kereta api Gemas – Gua Musang akan membawa mudarat yang besar kepada rakyat khasnya penduduk Pahang dan Kelantan. Tanpa kemudahan kereta api, perjalanan balik kampung akan menjadi lebih susah dan lebih mahal.
Menurut statistik rasmi Kementerian Pengangkutan, seramai 493,000 penumpang menaiki Ekspres Senandung Wau dan Ekspres Senandung Timuran pada tahun 2013 yang sebahagian besarnya diyakini berlaku pada musim perayaan.
“Kami tahu keadaan trafik di Jalan Persekutuan No. 8 (laluan Kuala Lumpur – Raub – Kuala Lipis – Gua Musang – Kota Bahru) adalah sangat sesak menjelang musim perayaan, hingga ada yang mengambil masa 15 jam untuk sampai ke Kota Bahru dari Kuala Lumpur.
“Lantaran itu, kemudahan kereta api adalah alternatif yang cukup penting kepada penduduk Pantai Timur Semenanjung.
“Tambahan pula, di Pahang dan Kelantan, terdapat beberapa pekan atau kampung, seperti Telok Gunong dan Kampung Berkam yang bergantung kepada kemudahan keretapi untuk tujuan pengangkutan seharian,” jelas mereka.
Penutupan landasan kereta api itu, ujar Kamaruddin dan Chin Tong akan menjejaskan kehidupan seharian penduduk kampung-kampung tersebut ekoran terputus hubungan dengan dunia luar.
Menurut mereka, walaupun alasan utama SPAD bagi menutup jajaran landasan itu adalah kerana isu keselamatan, namun terdapat cara yang lebih baik daripada menutup terus landasan terbabit.
Kerja penyelenggaraan landasan, tambah mereka harus dilakukan segera dan boleh dilakukan dengan penjadualan semula perkhidmatan kereta api.
Mereka yakin bahawa perkhidmatan kereta api masih boleh dikekalkan dengan perubahan jadual sementara kerja penyelenggaran dijalankan.
“Dengan rancangan rapi dan kepakaran teknikal, risiko keselamatan penumpang boleh diminimumkan,” ujar mereka.
Sehubungan itu, dua anggota Parlimen Pakatan Rakyat itu menggesa SPAD dan Kerajaan Malaysia segera mengkaji semula arahan penutupan landasan kereta api itu kerana impak susulannya adalah amat serius.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan