Pelakon dan penyampai radio Suria FM Sabah iaitu Farish Aziz akan lebih
berhati-hati ketika menggunakan laman sosial seperti Instagram dan
Twitter selepas dikecam teruk ekoran tindakannya memuat naik gambar
'selfie' ketika di tanah perkuburan pada 1 Syawal lalu.
Farish, 30, berkata, insiden berkenaan memberi pengajaran kepadanya
untuk lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dan berharap kejadian
serupa tidak akan berulang lagi.
"Saya akan lebih berhati-hati dalam memuat naik sesuatu gambar selepas
ini kerana mungkin ia akan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak
tambahan pula sebagai seorang selebriti segala tindakan sentiasa
diperhatiakan oleh peminat.
"Biarpun saya tidak mempunyai sebarang niat tidak baik apabila berkongsi
gambar tersebut dengan peminat namun kejadian ini memberikan saya
pengajaran," katanya kepada mStar Online.
Farish terdahulu dikecam hebat oleh para pengikutnya selepas dimemuat
naik gambar berkenaan yang disifatkan sebagai tidak menghormati adab dan
akhlak ketika menziarahi tanah perkuburan saudaranya di Sipitan, Sabah.
Aktor itu kemudiannya membalas kritikan berkenaan bagi mempertahankan
dirinya sebelum tampil memohon maaf secara terbuka kepada pihak yang
terguris dengan tindakan tersebut.
Dalam pada itu, Farish turut mendedahkan akibat kejadian tersebut, dia
menerima ugutan bunuh selain kata-kata negatif yang memberi impak bukan
sahaja kepadanya tetapi keluarganya.
"Bukan niat saya untuk mengguris perasaan sesiapa tentang gambar
tersebut dan tidak menyangka sampai ada yang mengugut untuk membunuh
saya gara-gara tidak berpuas hati.
"Saya sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka di laman
Instagram saya dan berharap isu ini tidak lagi disensasikan oleh
mana-mana pihak dan cukuplah setakat ini," katanya.
Sementara itu, Farish berkata, dia terkilan apabila teguran menggunakan
kata-kata kesat dilemparkan kepadanya dan menganggap ia sebagai
perbuatan seseorang yang mempunyai mentaliti rendah.
Pun begitu kata Farish, dia turut berterima kasih kepada pengikutnya
yang banyak memberikan teguran secara baik dan berhemah kepadanya supaya
memadam gambar berkenaan untuk mengelak daripada kejadian itu menjadi
lebih teruk.
"Jika ingin tegur apa salahnya buat secara baik dan tidak perlulah
hingga mengeluarkan kata-kata kesat sehingga mengguris perasaan orang
lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.