[ULASAN] Adab berperang dalam Islam tidak boleh membunuh kanak-kanak, orang tua ataupun wanita. Tentera Islam juga dilarang meroboh rumah ibadat penganut agama lain serta memusnahkan tanam-tanaman.
Demikian juga dalam politik. Adalah tidak wajar pembunuhan karakter
pesaing dilakukan hanya kerana didorong nafsu mahu membentuk persepsi
baik dan mulia tentang diri sendiri di kalangan rakyat.
Lebih buruk lagi ialah jika modal fitnah itu adalah sumber kehidupan
seperti bekalan air bersih. Sesungguhnya ini adalah amat keji kerana
tanpa air yang bersih ia bukan sahaja mengancam kehidupan tetapi boleh
merosak ibadah ummah.
Mungkin atas premis inilah maka PAS tidak menghalang malah menganggap
inisiatif yang diambil oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim, bagi meleraikan masalah bekalan air di Lembah Kelang sebagai
tindakan mulia.
PAS pendokong sunnah dan bertindak ikut sirah Rasulullah. Justeru
menyokong kesediaan Khalid untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat
mengelakkan musibah besar kemarau bekalan air adalah sesuatu kewajipan.
Mungkin PAS berkira bahawa tidak ada defisit atau kerugian politik jika
mengambil jalan berkerjasama dengan kerajaan Umno-BN dalam memberi
pekhidmatan asas seperti bekalan air ini.
Mungkin atas pendirian sebegini PAS masih belum mahu beranjak daripada
pandangan peribadi Presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang
mahu Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Malah sokongan daripada ahli dan penyokong PAS di seluruh negara ke
atas pendirian Hadi itu semakin menular dan jelas. Semakin ramai kini
sedar kebijaksanaan pesan Rasulullah s.a.w. supaya mematuhi adab
berperang.
PAS nampaknya sedar bahawa strategi politik air yang digunakan oleh
Pakatan Rakyat sejak 2008 adalah kurang manusiawi dan zalim.
Bagaimanapun sebelum ini mungkin tiada keadaan yang mendesak untuk PAS
menyuarakan rasa tidak puas hatinya selama ini sehinggalah timbul
kontroversi mahu menggantikan Khalid yang “tiada dosa politik” sebagai
menteri besar..
Mungkin juga kesengsaraan rakyat disebabkan catuan bekalan air beberapa
bulan lalu yang terpaksa diambil oleh kerajaan negeri Selangor
menginsafkan PAS bahawa soal menyediakan perkhidmatan adalah wajib dan
lantas ia tidak wajar dijadikan senjata politik.
Isu air pengaruhi keputusan tukar MB
Justeru meskipun partinya sendiri, PKR, sudah menitipkan supaya beliau
terus bertegas supaya jangan bekerjasama dengan kerajaan pusat berhubung
isu bekalan air bersih di Lembah Kelang, PAS berpendirian “keengkaran”
Khalid itu sesuatu yang mulia.
Mungkin ada banyak faktor lain yang mendorong PAS tiba-tiba memecah
tradisi dan seolah-olah “mahu mencampuri proses” membuat keputusan dalam
PKR.
Namun apa yang jelas dalam isu Menteri Besar Selangor ini PAS memandang
orientasi politik PKR seolah-olah bukan sahaja “menganiaya” Khalid
malah “mendera” rakyat juga.
PAS adalah sebuah parti ideologi. Mungkin selama ini keadaan tidak
mengizinkannya untuk menterjemahkan ideologi politiknya untuk mencetus
satu cara hidup. Faktor kewangan dan perundangan mungkin menjadi
kekangan.
Lantaran itu, dari masa ke masa PAS akan mengulangi keazmanannya untuk
mendapatkan ruang mengatasi kekangan-kekangan berkenaan. Menyertai
Pakatan Rakyat adalah salah satu ikhtiarnya.
Bagaimanapun belum sempat ia memperjelaskan ideologinya berhubung
tataurus kerajaan yang lebih adil dan membawa kebajikan kepada semua
seperti memperkukuh sistem keadilan dan perundangan, ia segera dicantas
oleh sekutu DAP dan PKRnya.
Yang pasti pimpinan PAS sudah menimba banyak pengalaman berhubung
pengurusan ekonomi yang dipasung oleh sistem kapitalis apabila ia mula
memerintah Kelantan pada 1990.
Bagaimanapun selepas 2008 jaringan pengalaman pengurusan ekonomi PAS
semakin meluas hingga meliputi sistem dan aktiviti kapitalis lebih rumit
seperti di Perak dan Selangor.
Justeru PAS semakin yakin strategi politik yang “mendera” rakyat
seperti menafikan mereka sistem bekalan air yang sempurna atas alasan
strategi politik langsung tidak boleh diterima.
Mungkin di peringkat ini PAS perlu memperkemas cara penyampaian dan
penghuraian bagaimana ideologi politik Islamnya boleh memberi manfaat
kepada rakyat dan negara dengan lebih berkesan.
Justeru kempen besar-besaran dan tersusun perlu dibuat untuk
mendapatkan khidmat pakar sistem bekalan air, elektrik, pengkaji sosial
dan ekonomi serta penyelidik seperti Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Khalid
Ibrahim untuk membantunya menterjemahkan ideologi ini agar serasi
kehendak zaman.
Lantas PAS perlu memperbaiki jaringan pemikiran dan tindakan politiknya
agar ia boleh benar-benar menjadi pembimbing pemikiran dalam Pakatan
Rakyat tentang keindahan dan keberkesanan sistem politik Islam.
Khalid Ibrahim dan kerusi Menteri Besar adalah kes uji yang baik untuk
PAS menyemarakkan pemikiran politiknya. Di segi prasarana ekonomi Islam,
kerajaan Umno-BN sudahpun menyediakan tapak sistem ekonomi Islam yang
mulai mendapat sambutan. PAS harus berjiwa besar menggabungkan segala
unsur ini demi Islam.
Selepas bersatu suara dan berkongsi rasa dengan semua ahli-ahli Dewan
Rakyat mengutuk keganasan penembakan pesawat MH17 dan kezaliman Zionis
di Gaza dan merentasi “adab dan tahyul” politik tidak boleh menegur
rakan sekutu Pakatan Rakyat, PAS harus beriltizam untuk bekerja dengan
sesiapa jua yang boleh membawa kesejahteraan pada ummat.
Ajaklah PKR dan DAP teruskan kerjasama politik demi rakyat. PAS bukan
sempurna, begitu juga rakan-rakan politiknya. Usahlah sentiasa melihat
saingan politik sebagai musuh tetapi hulurkan nikmat politik
berkebajikan kepada semua, termasuk Umno dan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.