SHAH ALAM: PKR hari ini mula mendedahkan urusan-urusan Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pihak swasta termasuk
projek perumahan untuk rakyat miskin yang dilihat sebagai mencurigakan.
Urusan yang membabitkan ratusan juta ringgit dana kerajaan negeri itu
adalah antara faktor yang mendorong parti itu mendesak Khalid berundur
sebagai MB Selangor.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata parti itu
mempersoalkan urusan Khalid dengan Pengerusi Eco World Tan Sri Rashid
Abdul Manaf.
“Kita dapati beberapa perkembangan yang menguatkan lagi keraguan
membabitkan urus niaga berjumlah ratusan juta yang memberi keuntungan
kepada Eco World Berhad iaitu syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Rashid
Abdul Manaf sebagai Pengerusi dan pemegang saham utama,” kata Saifuddin.
Antaranya ialah projek pembinaan rumah mampu milik yang diberikan kepada Eco World.
“(Pada) 25 Mac 2014 Menteri Besar tanda tangani satu lagi MoU dengan
Eco World yang menganugerahkan projek pembinaan 2400 unit rumah pangsa
mampu milik di bawah geran Selangorku yang dianggarkan bernilai RM 591
juta kepada syarikat itu di Ukay Perdana,” kata beliau.
” Pada asalnya (projek itu) dirundingkan dengan syarikat lain (untuk)
beberapa tahun tapi akhirnya diberikan kepada Eco World,” kata beliau.
Saifuddin juga mempersoalkan penjualan tanah oleh kerajaan negeri
kepada sebuah syarikat lain yang kemudiannya mengaut keuntungan berlipat
ganda apabila menjual tanah itu semula kepada Eco World.
"Pada 19 Mac 2014 Tropicana Corporation Berhad menjual 308.72 ekar
tanah (yang dibeli daripada kerajaan negeri) kepada Eco World.
Saifuddin berkata penjelasan penuh urusniaga mencurigakan itu
terkandung dalam nota penjelasan yang akan dihantar kepada pimpinan
Pakatan Rakyat esok.
Beliau berkata setakat ini Khalid enggan tampil memberikan penjelasan kepada pimpinan PKR mengenai urusniaga berkenaan.
"Ini antara yang parti minta penjelasan tetapi tidak mendapat
penjelasan yang meyakinkan dan menimbulkan keraguan dari sudut
integriti,” kata beliau.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menolak cadangan
PKR untuk Khalid digantikan dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail.
Hadi mendakwa Khalid cemerlang dalam menerajui Selangor dan bebas daripada sebarang skandal mahupun rasuah.
Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat pada 10 Ogos untuk membuat
pendirian rasmi mengenai kedudukan Khalid sebagai MB Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.