Halaman

Jumaat, 5 September 2014

Awas bahasa anda! Hujan ‘akta hasutan’ di Malaysia!


Oleh V Shuman


Sekiranya Putrajaya menganggap sistem kehakiman dan pasukan keselamatan di negara ini seumpama dua laras senapang, maka kedua-duanya kini diarahkan kepada orang ramai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dan ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seakan berpadu tenaga di dalam mengheret pelbagai pihak, daripada anggota unit peronda sukarela kepada tokoh akademik, di samping mendakwa mereka di mahkamah dengan bantuan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kebanyakan yang menerima tindakan ini merupakan para penyokong pembangkang. Ada di antaranya dituduh menghina sesuatu pihak, manakala ada yang didakwa mempersoal cara sesuatu isu ditangani oleh kerajaan.

Namun, ada hikmah di sebalik semua ini. Ia wajar memberi peringatan kepada para pengguna Internet agar tidak bersembunyi di belakang papan kekunci mereka dan menghamburkan kata-kata kesat.

Persoalannya, mengapa golongan pentaksub yang menyemai kebencian dan melakukan provokasi tidak pula diheret ke muka pengadilan? Mengapa mereka dibiarkan berleluasa?

Ingat lagi ancaman yang dibuat golongan berhaluan kanan Perkasa yang mahu memenggal kepala pihak-pihak yang mempersoal keistimewaan orang-orang Melayu serta kuasa Raja-Raja? Bagaimana dengan laungan pemimpin radikal Datuk Ibrahim Ali agar Bible berbahasa Melayu dibakar kerana mengandungi kalimah Allah?

Sekiranya perkataan “celaka”dianggap hasutan dan penghinaan terhadap sesuatu kaum, bagaimana pula dengan ugutan memenggal kepala, pertumpahan darah dan pembakaran kitab suci komuniti bukan Islam?

Dan bagaimana dengan dua lelaki beragama Islam yang melanggar keputusan mahkamah agar hak penjagaan anak-anak mereka diberikan kepada si ibu? Apa tindakan yang diambil ke atas mereka? Sudah pasti tiada apa-apa yang dilakukan.

Ada yang diambil kenyataan, supaya pihak polis dilihat menjalankan tugas mereka. Itu sahaja.

Nampaknya mereka tersasar di dalam memberi keutamaan.

Contohnya, polis di Pulau Pinang begitu sibuk menahan ahli-ahli peronda sukarelawan, sedangkan negeri itu menyaksikan kadar jenayah semakin meningkat dengan kejadian beberapa mayat dibuang di bahu-bahu jalanraya.

Sehingga hari ini, anggota polis telah menahan seramai 150 ahli Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) yang masih beroperasi walaupun ditegah berbuat demikian.

Unit tersebut diisytihar tidak sah kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Di mahkamah pula, beberapa individu didakwa menggunakan Akta Hasutan – alat yang dilihat digunakan Barisan Nasional bagi menyekat suara-suara penentangan.

Terbaru, pensyarah undang-undang Dr Azmi Sharom didakwa berikutan kenyataan beliau tentang krisis peralihan kuasa di Perak pada 2009.

Selain Azmi, nama-nama lain yang dikenakan akta yang sama termasuk Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan, PKR), N Surendran (Ahli Parlimen Padang Serai, PKR), Khalid Samad (Parlimen Shah Alam, PAS) dan R S N Rayer  (Adun Seri Delima, DAP).

Putrajaya seakan menutup telinganya terhadap aduan yang dibuat mereka ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pernah berkata akta tersebut bakal dimansuhkan. Namun kini ia seakan semakin galak digunakan.

Menurut laporan, Jabatan Perdanan Menteri mengeluarkan kenyataan dua hari lepas bahawa Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional, yang bakal menggantikan Akta Hasutan, masih di dalam proses deraf.

Jadi nampaknya, Putrajaya cuba mengelak daripada memansuhkan akta tersebut sambil berkata, ia masih perlu digunakan di dalam beberapa keadaan http://bm.theantdaily.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.