Halaman

Khamis, 4 September 2014

Dakwaan ke atas Azmi satu pencabulan prinsip kebebasan bersuara

 
Pendakwaan Azmi dilihat sebagai kesinambungan dari penyalahgunaan Akta Hasutan oleh kerajaan yang mutakhir ini menyaksikan beberapa tokoh politik pembangkang didakwa.

Dr. Afif Bahardin
PETALING JAYA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap Dr Azmi Sharom semalam, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Afif Bahardin.
Afif berkata tindakan mendakwa Azmi jelas merupakan satu pencabulan terhadap prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

“AMK berpendirian adalah tidak adil untuk mendakwa Azmi hanya kerana beliau mengutarakan pendapat dan pandangan di atas kapasiti sebagai seorang pensyarah undang-undang.

“Tambahan pula, pendakwaan beliau dilihat sebagai kesinambungan dari penyalahgunaan Akta Hasutan oleh kerajaan yang mutakhir ini menyaksikan beberapa tokoh politik pembangkang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Afif lagi yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinan, beliau mencabar Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang selama ini menzahirkan dirinya sebagai seorang pemimpin muda yang progresif untuk tampil menyatakan pendirian dan sikap beliau terhadap pendakwaan ke atas Azmi.

“Apakah Pemuda Umno merestui tindakan kerajaan yang menyalahgunakan akta lapuk warisan kolonial untuk mengekang percambahan idea dan wacana intelektual,” soalnya.

Katanya lagi, AMK menuntut pihak kerajaan supaya menghentikan kegilaan ini dan menghormati hak rakyat dan ahli-ahli akademik untuk terus bersuara menyatakan pandangan sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri juga sewajarnya diingatkan tentang janji dan komitmen beliau untuk memansuhkan Akta Hasutan serta tidak bertindak mengikut telunjuk pihak berkepentingan hanya untuk mengekalkan sokongan semata-mata,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.