IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, parah dan tidak
sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga kediaman
pengasuhnya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut,
dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Norfadhiah Allisa Mohd Faizul,
parah di kepala selepas dipercayai terjatuh dari koridor bangunan 10
tingkat berkenaan.
Ibu mangsa, Maziah Basar, 37, berkata, ketika kejadian dia mengajar di
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Nan Hwa, Sitiawan, dekat sini
dan dikejutkan panggilan telefon oleh pihak Hospital Angkatan Tentera
(HAT), Lumut memintanya datang ke Unit Kecemasan kerana anaknya
mendapatkan rawatan akibat terjatuh.
“Sebaik mendapat panggilan jam 10.30 pagi itu, saya terus ke hospital
dan mendapati anak saya dirawat serta tidak sedarkan diri, selain
mengalami pendarahan pada kepala.
“Keadaan anak saya ketika itu kritikal dan pihak hospital memberitahu
akan memindahkannya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh
dengan menaiki helikopter untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya
ketika ditemui di luar Jabatan Kecemasan HRPB di sini, semalam.
Menurutnya, anaknya diterbangkan bersama doktor dari HAT ke Ipoh jam
1.15 petang, manakala dia menaiki kenderaan disediakan TLDM dan tiba di
HRPB jam dua petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.