Halaman

Jumaat, 5 September 2014

Wanita tidak boleh diangkat sebagai pemimpin - Ustaz Azhar Idrus [TONTON VIDEO]

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus tidak menggalakkan golongan wanita dilantik menjadi pemimpin negara.
 
Menurut beliau, ini berdasarkan pandangan para ulama yang menolak wanita diangkat sebagai ketua.
 
"Saya lebih cenderung kepada ulama-ulama yang tidak membenarkan wanita menjawat jawatan ketua jikalau perkara itu jawatan yang tinggi atau besar. 
 
"Kerana orang perempuan ini walau cerdik macam mana pun dia ada kelemahan, tengok imam (wanita) tak boleh, bilal tak boleh.
 
"Tok bilal nak banding dengan ketua negeri, mana lebih besar khidmat dia? Mana lebih sibuk? Ketua bilal tak boleh perempuan kerana dia ada uzur," katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan pada salah satu sesi ceramahnya tentang apa hukum seorang wanita sekiranya dilantik sebagai pemimpin.
 
Walaupun tidak menyebut nama atau parti tersebut, umum mengetahui Pakatan Rakyat (Pakatan) di Selangor sedang berdepan dengan krisis jawatan menteri besar ketika ini.
 
Terbaharu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa PKR, DAP dan PAS sudah mengemukakan pilihan masing-masing kepada Sultan Selangor bagi mengisi jawatan itu.
 
Semalam adalah tarikh akhir untuk tiga parti komponen Pakatan mencadangkan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah calon untuk jawatan MB setelah baginda menerima peletakkan jawatan Khalid pada minggu lalu. 
 
Meskipun Sultan Sharafuddin menitah tiga parti itu untuk mengemukakan lebih daripada dua nama bagi membolehkan baginda memilih calon paling layak, PKR dan DAP tetap dengan keputusan hanya mencalonkan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 
 
PAS mematuhi titah Istana dengan mencadangkan Wan Azizah dan timbalan beliau, Azmin Ali.  
 
Azmin bagaimanapun menolak pencalonan itu kerana akur kepada keputusan pimpinan parti untuk memberikan sokongan hanya kepada Wan Azizah. 
 
Menurut Azhar lagi, pandangan tersebut bukan berniat untuk menolak peranan dan sumbangan wanita, namun hukum syarak telah memutuskan perkara tersebut.
 
"Perempuan ni ada tempat dia boleh, ada tempat tak boleh. Bukan kita nak letakkan taraf dia rendah, taraf dia patut lebih tinggi daripada lelaki. Bila patuh hukum Allah. 
 
"Jadi jaga-jaga dalam bab lantik orang perempuan ni jadi pemimpin-pemimpin besar, takut tercalar hukum syarak," katanya.
 
LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.