Oleh Azuan Abd Rahman
PETALING JAYA: KEADILAN akan menjadi parti politik pertama mendokong usaha badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggerakkan kempen Mansuh Akta Hasutan (MAH).
Perkara itu diumumkan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli dalam sidang media tergempar di ibu pejabat parti, hari ini.
“Kempen itu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat antaranya bakal meliputi siri jelajah penerangan membabitkan pemimpin tertinggi KEADILAN dan akan bermula di Kuala Lumpur sebelum diteruskan ke setiap negeri,” kata Rafizi.
Yakin bahawa hasrat majoriti rakyat Malaysia untuk melihat akta tersebut dihapuskan seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan tercapai, KEADILAN juga akan menggembleng seluruh kekuatan di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan semua saluran.
Rafizi menjelaskan, sokongan yang diberikan parti itu kepada NGO yang bakal menggerakkan kempen tersebut berpunca dari tindakan kerajaan dipimpin Najib yang berterusan menggunakan akta lapuk yang digubal penjajah itu bagi menekan pihak yang berbeza pendapat dengan kerajaan.
“Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan oleh mana-mana pentadbiran Umno BN, malah mereka menggunakan juga peruntukan dalam akta lain untuk terus menekan pihak yang berbeza pendapat dengan mereka.
“Tindakan menggunakan Akta Hasutan dan akta-akta lain untuk mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat, tokoh akademik dan orang ramai kebelakangan ini melambangkan wajah sebenar pentadbiran Najib,” tegas Rafizi.
Beberapa pimpinan tertinggi parti antaranya Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Shamsul Iskandar; Pengarah Biro Guaman, Latheefa Koya; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari turut hadir dalam sidang media itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.