Halaman

Jumaat, 5 September 2014

Calon MB S’ngor: KEADILAN bidas laporan AstroAwani, NST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: KEADILAN membidas laporan AstroAwani yang menyatakan parti itu akan mencalonkan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Menteri Besar (MB) Selangor jika Istana menolak pencalonan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berita tersebut bertajuk “MB Selangor: PKR calonkan Azmin jika Istana tolak Azizah – Sumber”, yang kononnya memetik sumber parti berhubung keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung malam tadi.

saifuddinKesal dengan laporan itu, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, mesyuarat MPP malam tadi hanya memutuskan dua perkara dan kedua-duanya tidak menyentuh mengenai calon alternatif.

“Untuk kesekian kalinya, AstroAwani melaporkan berita dalam isu Menteri Besar secara tidak bertanggungjawab tanpa memetik sumber rasmi dari KEADILAN,” kata Saifuddin dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, mesyuarat yang dianggotai ahli MPP baharu selepas Pemilihan 2014 tersebut menegaskan mengenai sokongan parti kepada Wan Azizah sebagai calon tunggal MB Selangor.

Satu lagi keputusan adalah berkenaan cadangan KEADILAN Kelantan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Kubor akan diputuskan melalui perbincangan antara pimpinan pusat parti itu dan PAS dalam masa terdekat.

Saifuddin turut menafikan laporan New Straits Times (NST) hari ini kononnya KEADILAN menghantar dua nama calon MB Selangor.

“Laporan itu sama sekali tidak tepat. Laporan NST yang tidak bersandarkan kepada sumber rasmi KEADILAN adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali,” tegas Saifuddin.

Beliau mengulangi pendirian parti dalam mesyuarat MPP pada 21 Julai lalu dan terbaru malam tadi yang sebulat suara bersetuju bahawa satu-satunya nama yang dicalon bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Wan Azizah.

“KEADILAN juga telah menghantar surat kepada Istana Sultan Selangor dengan melaksanakan keputusan mesyuarat tersebut,” jelas  Saifuddin dalam kenyataan berasingan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.