Mustapa Mohamed Mustapa
 
 
 
KOTA BHARU - BN Kelantan memberi kebebasan kepada semua ahlinya di Dun Chempaka untuk keluar mengundi pada PRK esok ( Ahad )..

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penyokong BN berhak memilih mana-mana yang dirasakan layak untuk mewakili kepentingan mereka di Dun tersebut.

"Saya nasihatkan mereka (penyokong) Umno keluar mengundi esok dan mereka juga bebas untuk memilih siapa calon yang layak.

"BN tak masuk campur malah kita juga tidak menaja mana-mana calon. Setiap ahli Umno ada hak untuk keluar mengundi di bawah Perlembangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat BN Kelantan di sini, sebentar tadi.

Tambahnya, keadaan PRK Dun Chempaka terkawal malah ahli BN di sana kini lebih rancak menyalurkan bantuan banjir kepada mangsa.

"Sebahagian besar bantuan yang dijanjikan telah diagihkan kepada mangsa banjir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, BN Kelantan juga dalam proses peremajaan semula parti dengan mendekati golongan sasar remaja.

"Kita kena berdamping dengan golongan remaja sasaran yang berada kampung, universiti, berlatar pendidikan agama serta ustaz yang bekerja dengan kerajaan," katanya.

Selain itu beliau berkata, hubungan dengan golongan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) akan dimantapkan dengan pengisian majlis ilmu atau forum. Mustapa berkata, BN tidak boleh terikat dengan pendekatan lama sebaliknya menggunakan kaedah baharu seperti memperbanyakkan majlis ilmu dan bukannya ceramah yang memperlihatkan buah fikiran sebelah pihak sahaja.