Jika dikaji lebih dekat, hudud Kelantan mendedahkan sesuatu yang tidak praktikal yang menjadikannya tidak realistik dilaksanakan, kata peguam dan penganalisis, yang berpendapat perkara itu bukan berkaitan iman seseorang tetapi lebih kepada isu tadbir urus.
Selain hukuman zaman lampau seperti merejam, Malaysia mungkin perlu mengeluarkan amaran perjalanan untuk pelawat bukan Islam ke Kelantan jika negeri itu menguatkuasakan kanun jenayah syariah yang dipinda baru-baru ini, menurut pengkaji sains politik, Dr Wong Chin Huat.
Amaran sebegitu mungkin memerlukan orang bukan Islam ditemani sekurang-kurangnya dua lelaki Islam dewasa pada setiap masa ketika berada di negeri pimpinan PAS itu.
Ini kerana, jika orang bukan Islam dirompak di Kelantan, kanun itu tidak membenarkan mereka memberi keterangan di mahkamah. Ini ialah salah satu yang tidak praktikal dalam menguatkuasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015), yang menyatakan hanya lelaki Islam baligh yang boleh menjadi saksi dan memberi keterangan dalam jenayah seperti rompakan dan pembunuhan yang melibatkan orang Islam di negeri itu.
Peruntukan sebegitu antara sebab undang-undang baharu Kelantan yang menjadi perbalahan itu bermasalah, kata Wong serta penganalisis dan peguam lain, kepada The Malaysian Insider.
"Isu di sekitar enakmen ini berkenaan tadbir urus, bukan akidah," kata Wong, yang mengetuai bahagian penyelidikan politik dan sosial Institut Pulau Pinang.
Ilham Tuhan?
Peguam Latheefa Koya pula berkata, memandangkan enakmen itu ciptaan ulama PAS, ia tidak boleh dianggap undang-undang Tuhan dan oleh itu boleh menerima teguran.
Kanun itu sepatutnya digunakan ke atas semua umat Islam di Kelantan, meliputi 6 jenis jenayah - sariqah (mencuri), hirabah (serangan dan rompakan), zina, qazaf (tuduhan zina yang tidak berasas), syurb (pengambilan alkohol) dan irtidad (murtad).
Hukuman hudud untuk 6 jenayah itu termasuk sebat, penjara, rejam, potong tangan dan saliban, bergantung kepada keseriusan jenayah itu.
Sebagai contoh, seorang perompak yang membuat ancaman tetapi tidak mencederakan dan tidak melarikan barang milik orang lain berdepan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun.
Tetapi perompak yang melarikan barang kepunyaan mangsa dan mangsa meninggal dunia akibat jenayah itu, boleh dibunuh dan selepas itu disalib.
Selain hudud, kanun itu juga memperuntukkan hukuman qisas (undang-undang pembalasan) iaitu bagi kesalahan yang membawa kematian atau kecederaan anggota badan.
Menurut kanun itu, hukuman hudud dan qisas ditetapkan dalam Al-Quran dan Sunnah.
Jika suatu kesalahan tidak termasuk di bawah hudud atau qisas, ia dianggap ta'zir (budi bicara), dan hukumannya ditentukan mahkamah Jabatan Undang-undang Negeri.
Latheefa menyangkal dakwaan PAS yang hukuman hudud dan qisas kanun itu berdasarkan Al-Quran, dan menggariskan beberapa percanggahan di antara Al-Quran dan kanun jenayah syariah Kelantan itu.
Tidak seperti dalam enakmen PAS itu, di dalam Al-Quran tidak disebut berkenaan hukuman untuk murtad dan hukuman melontar dengan batu, dan terdapat keperluan berbeza melaksanakan hukuman potong tangan dan keperluan berbeza dalam saksi kes rogol dan zina.
"Apa-apa saja yang berbeza dan di luar Al-Quran tidak boleh dianggap sebagai hudud,” kata Latheefa, yang juga ahli jawatankuasa pusat PKR.
Wong pula berkata, hakikat yang agama digunakan untuk menggubal undang-undang dalam ruang lingkup awam membuatkan ia terdedah kepada perdebatan.
Dan, katanya, walaupun terdapat jaminan sebaliknya dari PAS, enakmen tersebut tetap akan melibatkan orang bukan Islam.
Hudud melibatkan semua
Bukan sahaja orang bukan Islam akan terjejas, tetapi wanita, termasuk di kalangan orang Islam, mempunyai sebab untuk risau tentang kanun hudud Kelantan itu sekiranya mereka mangsa atau saksi kepada sesuatu jenayah.
Seksyen 39 hingga 42 kanun itu dengan jelas menyatakan semua kesalahan di bawahnya mesti dibuktikan dengan testimoni dari tertuduh dan akuan bersumpah dari saksi.
"Perlu terdapat sekurang-kurangnya dua saksi untuk semua kesalahan di bawah kanun ini kecuali untuk kesalahan zina. Bagi zina, minimum empat orang saksi diperlukan," menurut Seksyen 40(1).
Seksyen 41(1) kemudiannya menetapkan syarat untuk menjadi saksi mestilah seorang lelaki Islam yang adil dan baligh.
Tidak terdapat penerangan di dalam enakmen itu bagaimana seorang bukan Islam boleh memberi testimoni di Mahkamah Syariah, baik sebagai saksi atau mangsa sesuatu jenayah.
"Kalau saya dirompak di Kelantan oleh seorang Islam, dan kes itu dibawa ke mahkamah Syariah, enakmen itu menyatakan saya perlu dua lelaki Islam sebagai saksi. Saya tak boleh jadi saksi saya sendiri? Bagaimana ini yang dikatakan adil?" soal Wong.
Juga, kanun hudud Kelantan itu tidak menyebut tentang saksi dan mangsa wanita, dan sama ada testimoni wanita Islam boleh digunakan, kata peguam Andrew Khoo.
Sekiranya enakmen itu digunakan, akan wujud masalah dari segi prosedur siasatan kerana polis akan terpaksa menimbangkan antara dua set undang-undang - kanun kelantan dan Kanun Keseksaan, kata Wong.
PAS Kelantan katanya, tidak mengambil kira jenayah yang dilakukan yang melibatkan kedua-dua orang Islam dan bukan Islam.
"Sebab itulah hudud hanya boleh sama ada digunapakai atas semua orang atau tidak digunapakai atas sesiapa pun. Kalau anda laksanakan hudud, semua orang di Kelantan akan terlibat."
Kesaksamaan dalam undang-undang
Kesannya akan dirasai bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga institusi seperti Majlis Raja-raja dan sistem Keadilan Jenayah Persekutuan.
Khoo berkata, memandangkan Sekysen 48 kanun negeri itu mengatakan sesuatu hukuman tidak boleh ditarik balik atau ditukar, maka tidak ada ruang untuk pengampunan diraja.
Tetapi, isu paling besar berhubung enamen itu ialah Kelantan sebagai sebuah negeri menggubal undang-undang untuk kesalahan jenayah.
"Perlembagaan memberi kerajaan persekutuan bidang kuasa atas semua jenis undang-undang jenayah," kata Khoo merujuk kepada pemisahan kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Khoo menyangkal hujah PAS yang Kanun Jenayah Syariahnya terletak di bawah kuasa negeri dalam menggubal undang-undang yang berurusan dengan pentadbiran agama.
Negeri boleh menggubal kesalahan Syariah berkanun seperti denda kerana makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan, kata Khoo, tetapi kuasa itu tidak meliputi kesalahan jenayah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan