HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Mac 2015

Hudud: Mesyuarat Kabinet sama tapi hasil 'berbeza'

MALAYSIAKINI


 


Kabinet bermesyuarat semalam mengenai pindaan hudud di Kelantan tetapi laporan menunjukkan bahawa menteri daripada Umno dan MCA mempunyai tanggapan yang berbeza mengenai hasil mesyuarat tersebut.

Menurut laporan Bernama semalam, jemaah menteri daripada Umno juga bersetuju dengan sokongan wakil parti itu terhadap pindaan undang-undang itu.

"Kita memang amat setuju undang-undang ini diluluskan kerana ia merupakan hukum Allah yang memerlukan kita untuk memberikan sokongan," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Tidak ada persoalan kita menentang hukum Allah, cuma dari segi pelaksanaannya perlu ditingkatkan," katanya yang juga naib presiden Umno.

Umno, katanya, turut bersetuju supaya perkara itu diulas dengan terperinci kepada umum oleh jurucakap yang dilantik parti, kata Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Khamis lalu, DUN Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), selepas dipersetujui sebulat suara oleh kesemua 44 anggota DUN.

Semua 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 31 daripada PAS, 12 Barisan Nasional (BN) dan seorang PKR hadir ketika enakmen itu diluluskan.

Bagaimanapun, laporan Sin Chew Daily mengenai mesyuarat yang sama semalam menunjukkan keretakan dalam gabungan parti pemerintah itu berhubung isu tersebut.

Ia memetik Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi versi yang berbeza.

Menteri Pengangkutan itu mendakwa kebanyakan jemaah menteri menentang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akhbar harian berbahasa Cina itu berkata dalam perbincangan, Liow mengulangi pendirian MCA menolak hudud dan menggesa kabinet supaya memelihara perlembagaan.

Beliau dipetik sebagai berkata kabinet menekankan bahawa rang undang-undang hudud yang dibentangkan oleh kerajaan kelantan tidak mengikut semangat perlembagaan persekutuan dan bercanggah dengan perlembagaan.

Liow juga dilaporkan berkata kabinet amat memandang berat isu itu dan mahu mengendalikan dengan teliti 'konspirasi' PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak juga akan mengeluarkan satu kenyataan daripada BN mengenai perkara itu hari ini, kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Sin Chew Daily juga melaporkan bahawa 13 parti komponen BN sedang merangka satu kenyataan bersama untuk menyatakan dengan tegas pendirian mereka menentang pelaksanaan hudud di negara ini.

Laporan itu berkata kenyataan bersama yang jarang dibuat oleh parti komponen BN menunjukkan bahawa mereka memandang serius mengenai hudud dan kesan kanun jenayah itu terhadap masyarakat.

Parti-parti komponen itu juga percaya bahawa hudud bercanggah dengan perlembagaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum Malaysia.

Sehingga ini, masih tiada tanda-tanda mengenai kenyataan yang sepatutnya dikeluarkan oleh Najib tentang pendirian BN mengenai hudud.


Tiada ulasan: