HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Mac 2015

Kenapa Khalid tidak tweet tentang wartawan BFM, soal DAP

THE MALAYSIAN INSIDER



Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan Ketua Polis Negara yang berdiam diri di Twitter tentang isu ugutan bunuh dan rogol terhadap wartawan BFM, memandangkan Tan Sri Khalid Abu Bakar selalunya aktif di dalam media sosial tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mac, 2015.Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan Ketua Polis Negara yang berdiam diri di Twitter tentang isu ugutan bunuh dan rogol terhadap wartawan BFM, memandangkan Tan Sri Khalid Abu Bakar selalunya aktif di dalam media sosial tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider,.



DAP hari ini bertanya Tan Sri Khalid Abu Bakar adakah beliau mempunyai perhatian selektif dalam tweetnya, kerana Ketua Polis Negara itu dilihat berdiam diri tentang ugutan bunuh dan rogol yang dibuat terhadap wartawan BFM Aisyah Tajuddin.

Pemimpin veteran Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa pegawai polis tertinggi yang gemar menulis di akaun Twitter itu tidak bertindak segera terhadap mereka yang menjadi dalang ugutan tersebut seperti yang dilakukannya terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

"Khalid boleh segera bertindak, dalam masa beberapa saat, melalui Twitter, terhadap pemimpin PR dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO), tetapi mengapa beliau berdiam diri lebih 24 jam mengenai ugutan bunuh dan rogol terhadap Aisyah?


"Adakah beliau menghidap perhatian selektif (selective attention) seperti mana pihak berkuasa polis mengalami penyiasatan dan gangguan terpilih terhadap pemimpin PR dan aktivis NGO, dan Peguam Negara menderita penyakit pendakwaan terpilih?

"Memandangkan Khalid terkenal sebagai seorang yang laju menulis di Twitter dalam memantau perkembangan berkaitan pemimpin PR dan aktivis NGO, rakyat Malaysia tertanya-tanya dan berhak tahu apa yang beliau sudah lakukan berhubung ugutan bunuh dan rogol di media sosial terhadap Aisyah," katanya dalam satu kenyataan.

Ugutan tersebut dibuat terhadap Aisyah susulan klip video yang memaparkan wartawan itu membangkitkan persoalan mengenai pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan baru-baru ini oleh kerajaan PAS Kelantan.

Dalam klip video kerjasama antara BFM Media dan Projek Dialog di laman YouTube BFM Kupas itu, Aisyah berkata agama digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang lebih penting, seperti ekonomi dan pentadbiran.

Beliau juga mempersoalkan keadaan mangsa banjir di Kelantan, dan juga peningkatan bilangan kes perceraian, penggunaan dadah dan penggunaan pornografi di negeri itu.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pasti Khalid tidak akan mengatakan beliau tidak sedar tentang siri ancaman bunuh dan rogol yang dibuat terhadap Aisyah, yang muncul di media sosial sepanjang 36 jam yang lalu.

Beliau berkata Khalid perlu menjelaskan apa yang dilakukan setakat ini sesuai dengan standard tinggi yang diakuinya sendiri iaitu profesionalisme dan kecekapan kepolisan.

Beliau memetik bapa Aisyah yang turut mengajukan soalan sama ada Malaysia masih selamat untuk didiami oleh anak-anak kita selepas ancaman dibuat terhadap anak perempuannya.

Professor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi dalam satu tulisannya semalam berkata:

"Adakah negara ini selamat untuk didiami anak-anak kita? Sekiranya satu pandangan yang diberikan terhadap isu seperti hudud, demokrasi dan pilihan raya bersih boleh mencetuskan kemarahan dan ugutan bunuh, rogol dan membakar orang hidup-hidup, apakah yang digambarkan tentang negara, rakyat dan kepimpinan kita? Dari mana budaya ini datang?”

Lim berkata orang paling sesuai menjawab soalan Tajuddin ialah Khalid.

Beliau berkata Malaysia memerlukan seorang ketua polis negara yang mengutamakan keselamatan rakyat daripada ancaman penjenayah dan penyokong Negara Islam (Isis), bukan seorang yang meneruskan serangan tidak profesional terhadap pemimpin PR dan aktivis NGO.

Beliau menggesa Khalid agar berhati-hati supaya tidak meletakkan dirinya berkuasa seperti seorang hakim, juri dan pendakwa semua dalam satu masa.

"Ini kerana apabila ketua polis negara menggunakan tweet beliau untuk mengarahkan polis menyiasat seseorang, beliau meletakkan dirinya memegang tiga peranan itu.

"Beliau mungkin boleh tersilap dalam tweetnya seperti apabila beliau memberi reaksi terhadap tweet Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang berbunyi 'Royal my foot' mengatakan ia mungkin satu serangan ke atas Raja-Raja Melayu.

"Mana-mana siasatan awal polis boleh memahami yang Pua tidak menyerang atau mengkritik Raja-Raja Melayu dalam tweetnya," katanya.

Minggu lepas, Pua menulis tweet: "Bastards. Real bastards. Royal my foot" sebagai respons kepada penangkapan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kerana penglibatannya dalam perhimpunan #KitaLawan dan ucapan yang dibuatnya di Parlimen.

Khalid dalam satu tweet mengesahkan polis akan memanggil Pua untuk menjelaskan tweet itu dan menentukan sekiranya beliau cuba menghina Raja-Raja Melayu.

Lim berkata seorang lagi yang harus menjawab soalan Tajuddin ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tetapi berapa ramai rakyat Malaysia harap Najib akan memecahkan dasar diam diri beliau dan meyakinkan rakyat yang negara ini tidak merosot ke tahap di mana ia tidak lagi selamat untuk kita membesarkan anak-anak kita?

"Apabila Malaysia tidak lagi selamat untuk membesarkan anak-anak kita, maka ia juga tidak lagi selamat untuk pelabur melabur wang mereka – dan Malaysia juga sedang menggelongsor menjadi satu keadaan 'negara yang gagal'."

Semalam, Bernama melaporkan Khalid mempertahankan tindakan beliau menggunakan Twitter, mengatakan: "Tujuan saya mengeluarkan arahan melalui Twitter ialah untuk bertindak pantas terhadap hasutan dan penyebaran perkara yang tidak benar.

“Pada pandangan saya, cara ini berkesan untuk mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh dengan perkara tidak benar yang perlu dihentikan serta-merta," katanya.

Katanya, walaupun pihaknya kerap memberi amaran, masih terdapat segelintir yang menjadikan alasan hak kebebasan bersuara untuk 'menghalalkan' perbuatan atau kenyataan berbaur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

"Saya beri amaran banyak kali khususnya kepada pemimpin politik serta badan bukan kerajaan supaya berhati-hati bila suarakan pendapat dan pandangan khususnya di media sosial kerana ia boleh menjurus kepada keadaan yang mengancam keselamatan awam," beliau dilaporkan berkata.

Tiada ulasan: